MALAYSIA
Pendaftaran SKPS masih rendah, syarikat pengangkutan digesa bertindak segera

Mohd Sayuthi, berkata jumlah syarikat yang berdaftar di bawah sistem itu masih rendah berbanding keseluruhan 11,101 syarikat yang layak. - Gambar KPDN
KUALA LUMPUR : Syarikat pengangkutan awam dan barangan diminta segera mendaftar bagi mendapatkan subsidi petrol RON95 menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) di bawah Inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) bagi mengelakkan mereka membeli bahan api itu pada harga pam.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar, berkata jumlah syarikat yang berdaftar di bawah sistem itu masih rendah berbanding keseluruhan 11,101 syarikat yang layak.
"Kami bimbang sekiranya fleet card tidak dapat dikeluarkan sebelum tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi RON95, syarikat pengangkutan terpaksa membeli bahan api pada harga pam terlebih dahulu.
"Sebab itu kita sangat berharap syarikat segera mendaftar kerana dalam masa yang sama, syarikat minyak juga memerlukan masa untuk memproses dan mengeluarkan fleet card berkenaan," katanya pada Agenda AWANI, di sini pada Isnin.Mohd Sayuthi menjelaskan, syarikat yang masih gagal mendaftar selepas tempoh sebulan daripada tarikh pelaksanaan penyasaran tidak lagi layak membuat tuntutan semula.
"Proses tuntutan hanya dibuka kepada syarikat yang berdaftar. Justeru, kita menggesa semua syarikat pengangkutan awam dan barangan segera mendaftar untuk menikmati manfaat ini,” katanya.
Sementara itu, pelaksanaan SKPS kali ini sedikit berbeza berbanding Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) sebelum ini yang mempunyai tempoh lebih panjang untuk sesi libat urus bersama syarikat pengangkutan awam dan barangan.
Katanya, pendaftaran SKPS hanya dibuka bermula 15 September lalu, memberikan tempoh sekitar dua minggu kepada syarikat minyak untuk memproses fleet card.
"Bagi meningkatkan kesedaran, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri akan mengadakan sesi penerangan termasuk program open day di pejabat KPDN dengan kerjasama syarikat minyak supaya syarikat layak dapat mendaftar serta membuat permohonan fleet card terus di lokasi.
"Bagi fasa pertama, kita akan mulakan di Sabah dan Sarawak pada 29 September ini (hari ini), sebelum diperluaskan ke pejabat KPDN di Semenanjung," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kadar pendaftaran di Sabah dan Sarawak masih rendah, berikutan kebanyakan syarikat di sana tidak pernah terlibat dengan SKDS sebelum ini.
"Namun, melalui SKPS, syarikat di Sabah dan Sarawak akan turut terlibat, dan kita sedang mendekati mereka untuk segera mendaftar sebelum fokus diberikan pula kepada syarikat di Semenanjung," katanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali sebelum ini berkata, hanya 6,409 syarikat pengangkutan awam dan barangan yang melibatkan 14,527 kenderaan mendaftar untuk mendapatkan subsidi petrol RON95 menerusi SKPS sehingga Ahad.
Daripada jumlah itu, 357 syarikat dengan 601 kenderaan didaftarkan di Sabah manakala di Sarawak, 146 syarikat dengan 356 kenderaan mendaftar.
Kerajaan mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding RM2.05 seliter bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan tanpa mengambil kira tahap pendapatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami