JURU: Kerajaan Pulau Pinang melahirkan rasa dukacita dengan berita kehilangan pendaki negara yang juga orang kelainan upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim selepas berjaya menawan Gunung Everest.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berharap Kakitangan Muzium Pulau Pinang itu berjaya ditemui dalam keadaan selamat.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga bersedia menghulurkan bantuan berkaitan kepada keluarga Muhammad Hawari.

Tambahnya, ketika ini semua pihak sedang menunggu maklumat lanjut berhubung misi pencarian anak jati Permatang Kerai Besar itu sebelum tindakan selanjutnya diambil.

"Kita akan dapatkan makluman dari pihak berkaitan. Kejadian masih baru berlaku, pendaki hilang, kita sedang tunggu maklumat lengkap kita akan salurkan pertolongan kepada keluarga sekiranya perlu," katanya.

Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas kehilangan pendaki negara kelahiran Pulau Pinang itu selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DAP Pulau Pinang di Juru, Pulau Pinang pada Ahad.

Kronologi Kehilangan Muhammad Hawari Hashim

Terdahulu, Muhammad Hawari, 33, yang menyertai misi pendakian Gunung Everest, Himalaya dilaporkan hilang sejak Jumaat.

Muhammad Hawari dipercayai hilang selepas berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu pada 18 Mei.

Dia merupakan daripada kumpulan sama yang menyertai Malaysia Everest 2023 (ME 2023) bersama Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lot Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub yang dilaporkan meninggal dunia ketika misi yang sama.