MALAYSIA

Pendaki hilang di Gunung Liang: Mustaqqeem dijumpai seperti tidur kesejukan - Bomba

Sinar Harian 17/10/2025 | 09:50 MYT
Mustaqqeem Mansoor dipercayai ditinggalkan berseorangan di puncak Gunung Liang selepas malim gunung yang menemaninya turun untuk mendapatkan bantuan. -Foto JBPM
IPOH: Seorang pendaki, Mustaqqeem Mansoor, 34, yang ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang, Tanjung Malim pada Khamis dipercayai ditinggalkan berseorangan selepas malim gunung yang menemaninya turun untuk mendapatkan bantuan.


Ringkasan AI
  • Mustaqqeem Mansoor dipercayai ditinggalkan berseorangan di puncak Gunung Liang selepas malim gunung yang menemaninya turun untuk mendapatkan bantuan.
  • Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dengan kesan darah pada hidung, botol air kosong dan tidak menggunakan beg tidur, dipercayai akibat hipotermia.
  • Operasi SAR melibatkan 43 anggota mengambil masa lapan jam melalui trek mencabar sejauh 12 kilometer, dengan telefon bimbit mangsa dijumpai tetapi tiada liputan komunikasi di lokasi.


Pegawai Zon 4 Tapah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Marazman Mohamad, 38, yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) berkata, mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring mengiring seolah-olah sedang tidur dengan sedikit kesan darah pada hidung.

Menurutnya, semua barangan peribadi mangsa termasuk dompet, telefon bimbit, beg tidur dan bekalan makanan tidak terusik, namun botol air didapati kosong sepenuhnya.

"Kalau tengok kepada keadaan mangsa, ia seperti kesejukan dan ada sedikit pendarahan pada hidung yang mungkin disebabkan udara sejuk, biasanya dikaitkan dengan hipotermia.

"Mangsa juga tidak gunakan beg tidur yang dibawanya walaupun suhu di puncak sangat rendah. Ini menunjukkan dia mungkin hilang pertimbangan untuk berfikir disebabkan kesejukan melampau,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.

Marazman berkata, difahamkan mangsa pada awalnya mengadu sakit kaki ketika mendaki dan ditemani seorang malim gunung daripada kumpulan sama.

Bagaimanapun katanya, malim tersebut dikatakan meninggalkan mangsa berseorangan selepas turun ke kaki gunung untuk mendapatkan bantuan.

"Saya difahamkan kumpulan pendakian itu disertai 11 orang yang dibimbing dua malim gunung. Seorang lagi malim membawa turun peserta lain manakala seorang lagi menemani mangsa yang cedera.

"Namun malim yang bersama mangsa turun semula untuk cari bantuan meninggalkan arwah sendirian di puncak,” katanya yang juga Malim Gunung Perhutanan (MGP) berdaftar dengan Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk).

Beliau turut memaklumkan, terdapat cubaan awal oleh malim gunung serta penganjur ekspedisi dari Johor untuk mencari mangsa sendiri tanpa membabitkan pihak berkuasa sebelum pasukan SAR rasmi digerakkan.

Mengulas mengenai operasi menyelamat, Marazman berkata, pendakian dari Empangan Sungai Dara, Behrang ke lokasi kejadian mengambil masa kira-kira lapan jam melalui trek sejauh 12 kilometer yang sangat mencabar.

"Keadaan licin, berbatu dan banyak gaung kiri kanan menjadikan laluan itu sukar, apatah lagi ketika hujan.

"Gunung berketinggian 1,933 meter dari aras laut itu bukan untuk pendaki biasa,” jelasnya.

Beliau menambah, telefon bimbit mangsa turut dijumpai bersama mayatnya, namun tiada liputan rangkaian komunikasi di kawasan puncak berkenaan.

Media melaporkan, mangsa dari Sungai Petani, Kedah dilaporkan hilang selepas tidak turun bersama kumpulan pendaki pada Selasa lalu.

Menurut laporan, rakan-rakan terakhir melihat mangsa di puncak Gunung Liang Barat jam 10.30 malam dalam keadaan sakit kaki dan berjalan perlahan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada Khamis melibatkan 43 anggota pelbagai agensi termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perhutanan Perak. -Sinar Harian





#Mustaqqeem Mansoor #ditinggalkan berseorangan #puncak Gunung Liang #malim gunung