NATIONAL
Pendaki Malaysia maut terjatuh ketika daki Gunung Rinjani abang ipar Riezman Khuzaimi
Rennie meninggal dunia selepas terjatuh semasa mendaki Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia pada Sabtu lalu. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Abang ipar kepada pelakon Riezman Khuzaimi, Rennie Abdul Ghani, 57, meninggal dunia selepas terjatuh semasa mendaki Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia pada Sabtu lalu.
Ringkasan AI
- Rennie Abdul Ghani, abang ipar kepada pelakon Riezman Khuzaimi, meninggal dunia selepas terjatuh semasa mendaki Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia.
- Keluarga sedang menunggu maklumat daripada pihak berkuasa Indonesia sebelum membawa pulang jenazah ke Malaysia. Riezman mengucapkan terima kasih atas doa semua pihak.
- Operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan oleh pelbagai agensi di Indonesia, melibatkan puluhan anggota daripada Basarnas Mataram, pasukan perubatan, serta unit SAR Lombok Timur.
Mohd Rizman Mohd Khuzaimi, 55, yang lebih dikenali sebagai Riezman memaklumkan, keluarga mereka sedang menunggu maklumat daripada pihak berkuasa Indonesia sebelum membawa pulang jenazah ke Malaysia.
"Al-Fatihah, kami sekeluarga sedang menunggu pihak berkuasa di sana untuk mengemas kini maklumat sebelum membawa pulang ke Malaysia.
"Terima kasih atas doa semua buat abang ipar saya," katanya menerusi ruang komen Facebook Hiking And Recreation Around Malaysia (H.A.R.A.M) pada Ahad.
Pada Sabtu, media melaporkan seorang pendaki warga Malaysia dilaporkan terjatuh di laluan Toren, Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat sekitar 12 tengah hari waktu tempatan.
Operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan oleh pelbagai agensi melibatkan puluhan anggota daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Mataram, pasukan perubatan serta unit Pencarian dan Pertolongan (SAR) Lombok Timur.
Pihak taman negara menjelaskan, pendaki dilaporkan terjatuh di kawasan Banyu Urip oleh seorang juru pandu daripada agensi pendakian, Juan Adventure Rinjani.
Rennie Abdul Ghani memulakan pendakian melalui laluan Sembalun pada 1 Mei bersama kumpulan seramai 23 orang.
Sementara itu, menerusi portal media, adik mangsa yang mahu dikenali sebagai Yana berkata, pihak keluarga dimaklumkan mengenai berita itu kira-kira jam 8 malam tadi dan Rennie dilaporkan terjatuh jam 1 tengah hari (waktu Malaysia).
"Ikutkan pencarian di Google keadaan tempat abang saya jatuh tu memang curam dan (pendakian) sangat sukar.
"Kebetulan seorang anak Allahyarham berada di Medan, Indonesia. Jadi dia akan ke Lombok hari ini dan menunggu jenazah di sana.
"Selepas itu baru hubungi Kedutaan Malaysia di sana untuk di bawa pulang," katanya.
Beliau turut memaklumkan Allahyarham menetap di Setia Alam, Johor Bahru bersama isteri dan anak-anak.
Syawal lalu, Renny difahamkan ada menyebut kepada keluarga, pendakian itu adalah yang terakhir akan disertainya.
"Dia sangat suka mendaki. Tapi dia ada cakap sebelum raya, pendakian ini yang terakhir. Dia nak masuk larian sahaja selepas ini.
"Kami pun janji nak pergi haji sama-sama satu keluarga tahun depan. Dia sangat teruja nak tunai haji tahun depan," katanya. - Sinar Harian