MALAYSIA

Pendaki maut di Gunung Liang: Polis tahan dua malim gunung bantu siasatan

Bernama 17/10/2025 | 06:45 MYT
Timbalan Ketua Polis Perak SAC Mohammad Azlin Sadari berkata semakan mendapati kumpulan itu hanya mempunyai permit sah bagi laluan di Bukit Fraser, Pahang iaitu lokasi mereka memulakan aktiviti mendaki. - Gambar fail/Bernama
IPOH: Polis menahan dua malim gunung berusia 40-an bagi membantu siasatan tidak memiliki permit sah untuk memasuki kawasan hutan simpan di Perak, susulan kematian seorang pendaki di Gunung Liang dekat Tanjong Malim, yang ditemukan semalam.


Ringkasan AI
  • Dua malim gunung ditahan kerana tiada permit sah memasuki Hutan Simpan Perak selepas insiden kematian pendaki di Gunung Liang; mereka dibebaskan dengan jaminan polis.
  • Mangsa Mustaqqeem Mansoor, 34, meninggal akibat masalah kesihatan, bukan jatuh, ketika mendaki bersama 10 rakan dari Bukit Fraser ke Gunung Liang.
  • Operasi membawa turun mayat dijalankan oleh pihak berkuasa bersama JBPM dan agensi lain selepas mangsa ditemui di puncak Gunung Liang Barat.


Timbalan Ketua Polis Perak SAC Mohammad Azlin Sadari berkata semakan mendapati kumpulan itu hanya mempunyai permit sah bagi laluan di Bukit Fraser, Pahang iaitu lokasi mereka memulakan aktiviti mendaki.

"Tangkapan dibuat mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984, bagaimanapun mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan permit dan kebenaran sebelum melakukan aktiviti pendakian terutama bagi laluan yang merentasi sempadan negeri untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Mohammad Azlin berkata mangsa Mustaqqeem Mansoor, 34, dari Sungai Petani, Kedah meninggal dunia kerana masalah kesihatan dan bukan disebabkan jatuh.

"Mangsa sebelum itu mengalami kecederaan dan apabila kesemua pendaki turun, hanya mangsa yang tidak muncul," katanya.

Mohammad Azlin berkata mangsa mendaki bersama 10 rakan dari Bukit Fraser menuju ke puncak sebelum turun melalui laluan Gunung Liang.

Beliau berkata usaha membawa turun mayat sedang dijalankan pihak berkuasa bersama-sama pasukan penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.

Semalam, JBPM Perak memaklumkan mangsa yang dilaporkan hilang sejak dua hari lepas ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang Barat pada 3.30 petang, dan usaha membawa turun mayat dilakukan hari ini.

-- BERNAMA




#pendaki maut #Gunung Liang #malim gunung dirahan #polis perak