MALAYSIA

Pendaki maut: Rakan, peserta pulang sebaik tiba di kaki gunung sebab urusan kerja, cuti - Polis

Sinar Harian 19/10/2025 | 04:15 MYT
Jenazah mangsa dibawa keluar menggunakan helikopter bomba.
TANJUNG MALIM: Polis telah merakam percakapan lapan individu bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pendaki, Mustaqqeem Mansor, 34, yang ditemukan meninggal dunia di Gunung Liang, di sini, Khamis lalu.


Ringkasan AI
  • Polis telah merakam percakapan lapan individu termasuk rakan pendaki Mustaqqeem Mansor bagi membantu siasatan kematiannya di Gunung Liang pada Khamis lalu.
  • Tiga lagi peserta ekspedisi akan dipanggil kemudian, manakala penganjur aktiviti pendakian telah dikenal pasti dan akan turut dipanggil memberi keterangan.
  • Siasatan dijalankan sebagai laporan mati mengejut selepas bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat hipotermia; jenazah dibawa keluar menggunakan helikopter Bomba.


Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintenden Suhaimi Muhamad berkata, kesemua individu terbabit merupakan peserta dan rakan pendaki kepada mangsa yang menyertai misi pendakian tersebut.

“Baki tiga lagi pendaki yang turut serta dalam ekspedisi akan dipanggil kemudian bagi melengkapkan siasatan.

“Mereka dikesan pulang terus selepas tiba di kaki gunung disebabkan urusan kerja dan cuti,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, pada Ahad.

Suhaimi berkata, penganjur aktiviti pendakian itu juga telah dikenal pasti dan akan dipanggil memberi keterangan dalam masa terdekat.

“Setakat ini, siasatan dijalankan di bawah laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan kematian Allahyarham disebabkan hipotermia atau kesejukan melampau hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Slim River.

Mustaqqeem ditemukan meninggal dunia pada jam 3.30 petang, Khamis, di puncak Gunung Liang dan jenazahnya dibawa keluar dari gunung berketinggian 1,933 meter itu menggunakan helikopter AW189 milik Pasukan Khas Udara Bomba pada Jumaat.

Allahyarham memulakan pendakian bersama lapan peserta dipandu dua malim gunung pada 10 Oktober dari Bukit Fraser, Pahang, dan kali terakhir dilihat di puncak gunung berkenaan sekitar jam 10.30 malam, Selasa. - Sinar Harian



#pendaki maut #Gunung Liang #Mustaqqeem Mansor #pendaki maut ditinggal sendirian