MALAYSIA

Pendakwaan akhiri hujahan, label Najib sebagai perancang utama jenayah 1MDB

Bernama 30/10/2025 | 14:15 MYT
Najib, berdepan 25 pertuduhan, termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bekas perdana menteri itu bukanlah mangsa, sebaliknya perancang kepada jenayahnya sendiri.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Ahmad Akram Gharib berkata keterangan yang dikemukakan menunjukkan beliau bukanlah seorang lelaki yang diperdaya oleh orang lain, tetapi seseorang yang menggunakan individu lain untuk melaksanakan kehendaknya, dan kini cuba mengelak daripada menanggung akibat perbuatannya sendiri.

"Tertuduh bukan mangsa, tetapi pengatur utama. Dia bukan mangsa jenayah orang lain, sebaliknya arkitek kepada jenayah-jenayah tersebut. Individu yang kini dilabelnya sebagai pelaku telah terbukti bertindak mengikut arahannya, menerusi pejabatnya dan untuk kepentingannya sendiri.

"Tertuduh menggambarkan dirinya sebagai mangsa kepada pegawai bawahannya yang tidak bertanggungjawab, sedangkan hakikatnya, dia merupakan individu paling berkuasa dalam membuat keputusan di Malaysia serta dalam 1MDB pada tempoh berkenaan. Tertuduh mempunyai kawalan mutlak dari segi eksekutif, kewangan dan politik.

"Lembaga pengarah, pengurusan dan pegawai 1MDB semuanya beroperasi di bawah arahannya. Beliau tidak boleh kini memindahkan kesalahan kepada orang bawahan sedangkan kelulusannya sendiri, pejabatnya sendiri dan akaunnya sendiri berada di tengah-tengah urus niaga tersebut," katanya.

Ahmad Akram berkata keterangan menunjukkan setiap individu yang dipersalahkan oleh tertuduh bertindak mengikut arahannya atau dengan kelulusan jelas daripadanya, memandangkan mereka ialah pegawai bawahan yang tertakluk kepada arahan Perdana Menteri, sama ada disampaikan secara langsung atau melalui orang tengahnya, Low Taek Jho (Jho Low).

"Keterangan membuktikan bahawa tertuduh bukanlah seorang ketua yang tidak terlibat, sebaliknya pencetus, pengarah dan penerima manfaat utama bagi skim yang dipersoalkan," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kes pendakwaan disokong oleh dokumen yang menunjukkan tiada sebarang projek atau pelaburan 1MDB dapat dijalankan tanpa kelulusan terlebih dahulu daripada tertuduh, dan setiap dokumen korporat utama mengandungi tandatangan atau pengesahan beliau.

"Keterangan daripada AmBank dan saksi pendakwaan ke-47, penganalisis Bank Negara Malaysia Adam Ariff Mohd Roslan, dengan jelas menjejak sejumlah besar wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi tertuduh.

"Sumber dana tersebut adalah daripada syarikat-syarikat yang dikawal oleh ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho, dan bukan daripada keluarga diraja Arab Saudi seperti yang didakwa. Tertuduh secara peribadi menggunakan dan mengarahkan perbelanjaan dana itu untuk kepentingan dirinya dan tujuan politik," katanya.

Sementara itu, TPR Mohamad Mustafa P. Kunyalam menyifatkan kes 1MDB sebagai amat luar biasa, dan berkata sekiranya segala urusan syarikat itu diurus dengan mematuhi piawaian korporat sepenuhnya, "kita tidak akan berada di sini hari ini, dan dana tersebut tidak akan mengalir ke tempat lain atau berakhir dalam akaun bank tertuduh".

Beliau berkata penyelewengan dalam pengurusan 1MDB bukan berlaku secara tidak sengaja, tetapi dengan niat, dan menambah bahawa jauh daripada menjauhkan diri, Najib sebenarnya memperkukuh kedudukan ahli perniagaan buruan Jho Low dalam urusan peribadi dan rasminya.

"Satu-satunya kesimpulan yang munasabah ialah Jho Low berperanan sebagai orang tengah, proksi dan fasilitator utama bagi pihak tertuduh dalam urusan 1MDB. Sekarang kita boleh bertanya apakah tindakan yang diambil terhadap Jho Low pada tahun 2009?

"Jawapannya ialah tiada. Perkara ini berlarutan sehingga tahun 2018 apabila tertuduh kehilangan kuasa. Tiada satu pun tindakan diambil terhadap Jho Low. Sebaliknya, Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail telah digugurkan pada tahun 2015, ketika kemelut ini memuncak," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pendakwa raya Datuk Kamal Baharin Omar yang berhujah mengenai 21 pertuduhan pengubahan wang haram, berkata kebergantungan Najib terhadap Jho Low serta surat-surat derma daripada Arab Saudi yang tidak disahkan, menunjukkan sikap "sengaja membutakan mata", sedangkan aliran masuk dana yang besar -- RM155 juta, RM304 juta dan RM602 juta ke dalam akaun peribadinya, sepatutnya disemak dengan teliti.

"Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada tempoh berkenaan, tertuduh mempunyai tanggungjawab untuk mengesahkan sumber dana tersebut, namun memilih untuk tidak berbuat demikian. Skala transaksi, lapisan akaun luar pesisir dan kekurangan bukti derma yang sahih membuktikan wujudnya pengelakan secara sedar, yang dalam konteks undang-undang dianggap sebagai pengetahuan sebenar.

"Dengan menutup mata secara sengaja, tertuduh telah memenuhi ujian 'alasan untuk mempercayai' di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA).

"Tertuduh mendakwa beliau bertindak dengan niat baik dan menggunakan dana tersebut untuk tujuan politik serta sosial, namun di bawah AMLATFA, niat tidak relevan, memadai jika tertuduh tahu atau mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa dana tersebut merupakan hasil daripada aktiviti haram. Penggunaan dengan niat baik tidak akan menyucikan wang yang telah tercemar," kata Kamal Baharin.

Selain itu, mahkamah turut mendengar hujahan daripada pendakwa raya Deepa Nair Thevaharan, yang berhujah mengenai empat surat derma Arab yang didakwa, dengan menyimpulkan bahawa setakat ini pihak pembelaan gagal mengemukakan sebarang bukti bagi membuktikan ketulenan surat-surat tersebut.

"Satu-satunya bahan yang dikemukakan kepada mahkamah ialah keterangan lisan, yang bersifat andaian, berdasarkan tanggapan tertuduh sendiri bahawa dana tersebut merupakan derma daripada Arab Saudi.

"Dakwaan ini langsung tidak disokong oleh sebarang bukti yang kukuh atau boleh dipercayai. Tambahan pula, saksi-saksi pembelaan yang dipanggil untuk mengesahkan kesahihan surat-surat tersebut juga gagal mengemukakan sebarang bukti dokumentari bagi menyokong dakwaan mereka," katanya.

Hari ini, pasukan pendakwaan menutup hujahan lisan mereka, manakala pasukan pembelaan Najib dijangka menyelesaikan hujahan balasnya esok di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Pada 6 Mei, pihak pembelaan menutup kes mereka selepas memanggil 26 saksi dan mahkamah telah menetapkan sembilan hari bermula 21 Okt bagi mendengar hujahan lisan.

Najib, 72 tahun, berdepan 25 pertuduhan, termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Ketika ini, Najib sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang berhubung kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

-- BERNAMA



#1MDB #Bank Negara Malaysia #Peguam Negara #SRC International