NATIONAL
Pendakwaan bantah permohonan Peter Anthony semak keputusan Mahkamah Rayuan

Peter memohon untuk menyemak keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 kerana memalsukan dokumen kontrak di UMS. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan membantah permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony untuk menyemak keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mengekalkan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 kerana memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Ringkasan AI
- Pihak pendakwaan membantah permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony, untuk menyemak keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 kerana memalsukan dokumen kontrak di UMS.
- Mahkamah menetapkan 16 Mei untuk sebutan secara e-Review bagi menentukan tarikh pendengaran semakan Peter dan bantahan awal pihak pendakwaan. Peter memohon agar Mahkamah Rayuan mengkaji semula sabitan dan hukuman yang dijatuhkan pada 4 Mac.
- Peter didakwa memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS dengan niat menipu, yang dilakukan di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014. Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Terdahulu peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili Peter berkata pihaknya telah membuat permohonan untuk mendapatkan alasan penuh penghakiman, namun ia masih belum siap.
"Pihak kami (pemohon) ada meminta 'court recording transcription (CRT)', namun kami tidak mendapat CRT itu dan yang ada dengan kami hanya nota prosiding sahaja," katanya yang turut memohon supaya semakan itu diteruskan dengan alasan penghakiman ringkas yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Peguam itu berkata pihaknya juga telah memfailkan satu perakuan segera memandangkan kes itu melibatkan kepentingan awam, dengan status pemohon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah masih lagi tergantung.
Mahkamah kemudian menetapkan 16 Mei ini untuk sebutan secara e-Review (Zoom) bagi menentukan tarikh pendengaran semakan Peter dan bantahan awal pihak pendakwaan.
Pada 14 Mac lepas, Peter memfailkan notis usul memohon agar Mahkamah Rayuan mengkaji semula serta mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan pada 4 Mac lepas di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
Selain itu, Peter turut memohon pembatalan waran penjara bertarikh 4 Mac lepas yang dikeluarkan kepada Penjara Kajang terhadap beliau serta apa-apa perintah berbangkit bagi memastikan keadilan dalam kes tersebut.
Mahkamah Rayuan letika itu memerintahkan Peter menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas menolak rayuan akhir beliau terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022.
Peter sebelum ini telah memfailkan rayuan pada 19 April 2023 bagi mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan, namun gagal apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 April 2023 turut mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen itu.
Beliau telah membayar denda RM50,000 yang dikenakan.
Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd didakwa memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami