MALAYSIA
Pendakwaan gagal bukti Yusoff Rawther ada kawalan, pemilikan dadah, pistol tiruan - Hakim
Mahkamah Tinggi membebaskan Muhammed Yusoff Rawther daripada pertuduhan mengedar dadah dan memiliki pistol tiruan. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan Muhammed Yusoff Rawther mempunyai kawalan, jagaan dan pemilikan terhadap dua pucuk pistol tiruan dan dadah jenis kanabis yang dikaitkan dengannya.
Berikutan itu, dia yang juga bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik, dilepaskan dan dibebaskan (DNA) atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, hari ini.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Yusoff, 32 di akhir kes pendakwaan.
Ketika membaca keputusan, hakim itu berkata, adalah tidak selamat untuk memanggil tertuduh untuk membela diri.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai kawalan, jagaan dan pemilikan ke atas dua pistol dan dadah berkenaan.
“Keadaan tertentu dalam kes ini menimbulkan persoalan sama ada tertuduh mempunyai kawalan ekslusif terhadap senjata dan dadah itu.
“Syak wasangka tidak mencukupi untuk membuktikan tertuduh mempunyai jagaan atau kawalan ke atas dua pucuk pistol dan dadah tersebut.
“Oleh itu tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan dihadapi tanpa perlu dipanggil membela diri,” kata hakim itu.
Mendengar keputusan berkenaan, Yusoff yang juga cucu kepada aktivis pengguna terkenal Pulau Pinang, Allahyarham SM Mohamed Idris itu meraup muka tanda kesyukuran.
Pada 12 September 2024, Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram.
Kesalahan didakwa dilakukan dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa atas satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 September tahun sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 12 November tahun sama, Mahkamah Majistret membenarkan kes mengedar dadah jenis kanabis, membabitkan Yusoff dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Dalam kes berkenaan, tertuduh diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali sementara pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman. - Sinar Harian