MALAYSIA

‘Pendakwaan ini ada campur tangan politik, cubaan diamkan teguran saya’ - Azman

Khalis Khadir 08/12/2025 | 11:15 MYT
Azman bercakap kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Shah Alam pada Isnin. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin yang dituduh bersuhabat menerima rasuah hari ini mendakwa, kes terhadapnya mempunyai unsur campur tangan politik kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa.


Ringkasan AI
  • Datuk Azman Nasrudin mendakwa bahawa kes rasuah yang dituduh kepadanya mempunyai unsur campur tangan politik dan dilakukan secara tergesa-gesa, mungkin disebabkan tegurannya terhadap kerajaan dalam beberapa isu berbangkit.
  • Ahli Parlimen Padang Serai akan mengemuka permohonan untuk menggugurkan pertuduhan rasuah RM400,000 ke Mahkamah Tinggi sebelum sebutan kes pada 13 Januari 2026 kerana percaya pertuduhan tersebut tidak berasas dan tidak ada bukti yang mengaitkan dirinya dengan menerima atau meminta wang.
  • Azman Nasrudin menyatakan bahawa dakwaan tersebut adalah fitnah yang bertujuan untuk menjatuhkan lawan politiknya, serta menegaskan bahawa dia dan pasukan peguamnya akan berusaha untuk melawan tuduhan tersebut dalam proses undang-undang.


Walaupun mengakui dirinya bukan antara yang paling lantang di Dewan Rakyat, beliau berkata, pendakwaan hari ini mungkin disebabkan tegurannya terhadap kerajaan dalam beberapa isu berbangkit.

“Saya yakin ini tuduhan yang bersifat dan ada unsur-unsur campur tangan politik. Saya dimaklumkan seorang lagi tertuduh kemungkinan kes beliau akan dituduh pada Januari atau Februari depan. Dia sendiri terkejut apabila tiba-tiba didakwa bersama saya. Ini menunjukkan ada pertuduhan segera dibuat, seolah-olah untuk menutup kes-kes yang berlaku beberapa minggu kebelakangan ini.

"Mungkin juga sebab saya tegur kerana isu surat sokongan setiausaha politik kanan kepada Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri yang menyenaraikan lima syarikat adalah berbeza dengan surat permohonan kelulusan oleh seorang Exco Kerajaan Negeri untuk sebuah projek.

“Di sini nampak ada campur tangan politik untuk menjatuhkan sesuatu dakwaan palsu atau fitnah terhadap lawan politik kamu,” dakwanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Shah Alam pada Isnin.

Ahli Parlimen Padang Serai didakwa subahat kes rasuah RM400,000


Mengulas lanjut, Azman memberitahu, beliau bersama barisan peguamnya akan mengemuka permohonan untuk menggugurkan pertuduhan itu ke Mahkamah Tinggi sebelum sebutan kes pada 13 Januari 2026.

“Pertuduhan yang dikenakan kepada saya adalah tidak berasas, dalam butiran pertuduhan tidak membuktikan saya menerima ataupun meminta wang.

“Saya cuma dituduh bersubahat, mengarahkan. Itu juga adalah satu tuduhan yang secara umumnya, tiada satu pun bukti yang boleh mengaitkan saya. Pihak peguam saya akan failkan ke Mahkamah Tinggi untuk kita gugurkan kes ini, kita akan cuba lawan,” dakwanya lagi.

Azman didakwa bersubahat untuk menerima rasuah RM400,000 berkaitan penternakan lembu milik Kerajaan Negeri Kedah, lima tahun lalu.

Bagaimanapun, wakil rakyat daripada Perikatan Nasional itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan pagi tadi.







#Azman Nasrudin #ternakan lembu #Rasuah #Ahli Parlimen Padang Serai #campur tangan politik