KUANTAN: Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini mengarahkan seorang eksekutif kaunselor, Hamidah Rapaee membayar pampasan RM100,000 dan ganti rugi teladan RM20,000 kepada pendakwah bebas, Abu Syafiq Al-Asy'ary berhubung kenyataan fitnah yang dibuat melalui media sosial, dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen turut membenarkan injunksi melarang Hamidah mengulangi perkataan fitnah dalam mana-mana penerbitan atau penyiaran.

Menurut salah seorang peguam yang mewakili Abu Syafiq, Nurul Hafidzah Hassan, defendan juga diarahkan menulis dan menyiarkan permohonan maaf kepada Abu Syafiq di laman Facebook dan YouTube.

"Saman sivil tersebut terpaksa diambil oleh Abu Syafiq bagi membersihkan namanya setelah percubaannya untuk menyelesaikan krisis tersebut secara baik, tanpa melibatkan proses mahkamah gagal apabila defendan enggan memadam fitnah yang telah dimuatnaik di akaun media sosial beliau dan enggan meminta maaf.

"Keputusan kes saman sivil tersebut merupakan bukti kukuh yang mahkamah bersetuju dengan hujahan-hujahan peguam Abu Syafiq yang laman Facebook beliau telah digodam dan beliau tidak pernah mengkafirkan seorang pendakwah bebas iaitu Ustaz Ebit Lew.

“Jelas di sini yang plaintif tidak pernah memfitnah mana-mana pihak dan kesemua tuduhan dan dakwaan ke atas beliau adalah fitnah,” kata Nurul Hafidzah, menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada bulan Jun tahun lalu, Abu Syafiq berjaya mendapatkan maklumat daripada Facebook mengenai asal-usul komen di Facebook yang menggunakan namanya.

Antara maklumat penting yang diperoleh Abu Syafiq termasuk emel dan maklumat berkaitan mengenai dua akaun palsu yang telah digunakan di Facebook dengan tujuan dipercayai untuk menyamar dan mengejek plaintif termasuk membuat kenyataan berbaur fitnah dan memberi gambaran bahawa semua kenyataan tersebut dimuatnaik oleh beliau.