Pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus, yang meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi di kediamannya, selamat dikebumikan pada 11 pagi Jumaat.

Jenazah Allahyarham yang disolatkan bermula jam 10 pagi secara bergilir-gilir di Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat di sini, dipimpin Menteri Alam Sekitar Dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga merupakan Naib Presiden Pas, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Taman Lembah Keramat.

Tuan Ibrahim yang ditemui pemberita menyarankan, mereka yang tidak sempat datang kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) supaya untuk melaksanakan solat jenazah ghaib di tempat masing-masing.

"Saya yakin rakan-rakan di Indonesia, Brunei, Singapura serta beberapa tempat di Eropah dan Amerika Syarikat yang dapat maklumat ini, mereka juga mendirikan sembahyang jenazah ghaib.

"Saya yakin di mana-mana pun doa kita akan sampai," katanya.

Mengakui mempunyai pengalaman peribadi yang sangat 'lama' bersama Allahyarham, Tuan Ibrahim berkata, pemergian beliau adalah satu kehilangan besar bagi umat Islam, khususnya beliau merupakan seorang tokoh ilmuwan yang banyak membimbing ummah dengan banyak kaedah dan cara.

Sementara itu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengakui, berasa kehilangan dengan pemergian Allahyarham.

"Siapa yang tak kenal Datuk Ismail dan bagi saya sendiri, secara peribadi pernah menjadi anak murid beliau, dalam perubatan Islam di Darussalam.

"Saya yakin ramai anak murid Allahyarham yang mendoakannya, walaupun hari ini kita terpaksa mengehadkan kehadiran orang ramai," katanya.

Allahyarham yang merupakan veteran Pas itu dimasukkan ke wad sejak 26 April disebabkan keadaan kesihatan yang agak lemah, sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari sama dan didapati mengalami jangkitan paru-paru.

Allahyarham juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia selama sepenggal pada 1999 hingga 2004 dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

Pada 9 Mei tahun lalu, Allahyarham yang juga Pengasas dan Penasihat Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia, dilaporkan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Allahyarham dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening, Ulu Selangor.

-- BERNAMA