[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
MALAYSIA

Pendapatan CAAM meningkat, kenaikan caj navigasi udara bawa manfaat

Asyraf Malik 23/06/2025 | 06:00 MYT
Anthony Loke berkata caj navigasi udara merupakan pendapatan utama CAAM untuk berdiri sendiri. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kenaikan Caj Navigasi Udara bermula 1 Januari 2025 lalu membawa manfaat kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Ringkasan AI
  • Kenaikan Caj Navigasi Udara mulai 1 Januari 2025 meningkatkan pendapatan CAAM kepada sekitar RM420 juta setahun, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan dan menyokong peralihan CAAM kepada status Badan Berkanun Diasingkan dan Dibebaskan (BBDSB) menjelang Ogos 2025.
  • Caj navigasi udara Malaysia masih antara yang termurah di dunia, dan kenaikan ini dianggap wajar memandangkan keperluan kawalan trafik udara terhadap laluan penerbangan antarabangsa yang melalui ruang udara negara.
  • Pendapatan tambahan membolehkan CAAM membiayai pegawai teknikal berkelayakan, menarik bakat baharu, dan meningkatkan keselamatan industri penerbangan, susulan penurunan gred penilaian oleh FAA sebelum ini akibat kekurangan tenaga kerja teknikal.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata caj tersebut merupakan pendapatan utama CAAM sekali gus membantu agensi itu menjadi Badan Berkanun Diasingkan dan Dibebaskan (BBDSB) menjelang 1 Ogos tahun ini.
“Pendapatan CAAM tahun 2025 meningkat dengan kenaikan caj navigasi udara iaitu diunjurkan sekitar RM420 juta, sebelum ini hanya RM100 hingga RM210 juta setahun.
“(Ini bermakna) penjimatan sebanyak RM150 hingga RM200 juta daripada suntikan dana kerajaan. Dalam masa 10 tahun akan datang, dijangka kerajaan jimat sebanyak RM1.5 hingga RM2 bilion.
“Untuk rekod, kerajaan (sebelum ini) perlu menyalurkan kewangan sebanyak RM150 hingga RM200 juta setahun untuk memastikan CAAM dapat berfungsi dengan sebaiknya,” jelas Anthony dalam sidang media di Kementerian Pengangkutan Malaysia, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Anthony menjelaskan caj navigasi udara dikenakan Malaysia antara yang termurah berbanding negara lain di dunia.
“Kebanyakan syarikat penerbangan terutamanya daripada Eropah harus melalui ruang udara Malaysia untuk ke selatan.
“Kawalan trafik udara negara kita perlu menyelia perjalanan syarikat penerbangan ini, jadi kenaikan caj yang dibuat adalah berpatutan” jelasnya.
Katanya lagi, keuntungan tambahan diraih CAAM ini boleh digunakan untuk membiayai pasukan teknikal bagi memastikan kelancaran pengangkutan udara.
“Kini CAAM boleh bayar Pegawai Teknikal Berkelayakan yang amat kritikal dalam menjamin keselamatan dan sekuriti industri berkelayakan.
“Selain itu, ia akan menarik bakat berkemahiran tinggi baharu dalam bidang teknikal yang mempunyai kepakaran seiring piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
“Sebelum ini, penilaian CAAM diturunkan daripada gred 1 ke gred 2 oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA)... antara dapatan dalam audit (perkara itu berlaku) adalah kita tak mampu bayar kakitangan teknikal mencukupi untuk operasi,” ujar Loke.
Pada 27 November 2024, Kementerian Pengangkutan meluluskan kenaikan caj navigasi udara melibatkan pesawat asing menggunakan ruang udara Malaysia, setelah puluhan tahun tiada semakan semula.
#Kementerian Pengangkutan #CAAM #Caj Navigasi Udara #Anthony Loke