KUALA LUMPUR: Pendapatan e-dagang oleh pertubuhan di Malaysia meningkat 10.4 peratus tahun ke tahun pada suku tahun pertama 2023 kepada RM291.7 bilion yang dipacu terutamanya oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ia berkata pendapatan e-dagang pada 2022 berjumlah hampir RM1.10 trilion, meningkat 6.0 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Prestasi memberangsangkan ini dapat dikaitkan dengan inisiatif kerajaan antaranya menyediakan gerbang e-dagang serantau, melabur dalam syarikat-syarikat e-dagang baharu, menggalakkan inovasi melalui kerjasama dalam pematuhan peraturan, serta meningkatkan aksesibiliti komunikasi dan rangkaian jalur lebar.

"Usaha-usaha ini telah menghasilkan manfaat ekonomi yang signifikan, termasuk peningkatan dalam penggunaan teknologi digital dan prestasi keseluruhan yang lebih baik," kata DOSM dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut DOSM, pendapatan e-dagang meningkat 23.9 peratus kepada RM1.037 trilion pada 2021 berbanding daripada RM675.4 bilion pada 2019.

"Bagi segmen pasaran tempatan yang merangkumi jualan yang dijalankan dalam Malaysia, ia mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 25.5 peratus, berjumlah RM932.7 bilion pada 2021, manakala segmen pasaran antarabangsa meningkat 11.9 peratus kepada RM104.5 bilion (pada 2021)," katanya.

Sementara itu, DOSM berkata penggunaan komputer meningkat kepada 93.8 peratus pada 2021 daripada 86.2 peratus pada 2019, penggunaan Internet meningkat kepada 90.6 peratus pada 2021 daripada 85.2 peratus pada 2019, dan web presence meningkat kepada 63.3 peratus pada tahun 2021 daripada 53.9 peratus pada 2019.

Ia berkata walaupun pandemik COVID-19 memberi kesan negatif terhadap kesihatan dan ekonomi keseluruhan, sekatan dan langkah keselamatan yang dikenakan untuk mengawal penyebaran virus, seperti sekatan pergerakan, penjarakan sosial dan operasi kedai fizikal yang terhad, menyebabkan lonjakan pembelian dalam talian dan transaksi digital.

"Secara keseluruhannya, pandemik COVID-19 telah bertindak sebagai pemacu kepada pertumbuhan e-dagang di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA