MUKAH: Sarawak dijangka terus merekodkan peningkatan pendapatan pada tahun ini berikutan kejayaan mencatatkan pertambahan pendapatan dalam tempoh empat tahun termasuk RM12 bilion pada 2022.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pendapatan yang direkodkan Sarawak pada tahun lepas adalah yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negeri ini dengan pendapatan tahun sebelumnya meningkat daripada RM10 bilion kepada RM11 bilion.

"Pada 2022 pendapatan Sarawak tidak pernah dalam sejarah ialah RM12 bilion, sebelum itu dah naik daripada RM10 bilion kepada RM11 bilion dan kita doakan pada tahun ini (2023) akan mencatatkan peningkatan juga," katanya semasa merasmikan Pesta Kaul Mukah 2023, sebuah pesta tahunan kaum Melanau, di sini hari ini.

Abang Johari berkata berdasarkan pencapaian itu dan pendekatan baharu yang dibuat kerajaan Sarawak pada masa kini, beliau yakin pendapatan Sarawak akan terus merekodkan peningkatan pada 2023.

Beliau berkata dengan adanya peningkatan pendapatan berkenaan, banyak pembangunan boleh dilaksanakan di seluruh Sarawak termasuk di Mukah.

Abang Johari berkata kerajaan Sarawak akan melaksanakan 60 projek pembangunan di kawasan Mukah iaitu antara kawasan terletak di bawah tadbir urus Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) yang menelan kos RM1 bilion bagi memesatkan lagi pembangunan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, RADDA ialah sebuah agensi khas ditubuhkan kerajaan Sarawak yang memberi fokus kepada pembangunan di kawasan Delta Rajang termasuk Mukah.

Beliau turut mengumumkan projek pembinaan tebingan sungai Mukah yang baharu dianggarkan menelan kos RM60 juta dan kini sedang dalam peringkat reka bentuk kejuruteraan.

Menyentuh mengenai Pesta Kaul Mukah, beliau berkata pesta itu tidak asing lagi bagi beliau kerana sudah begitu lama bersama-sama menjayakan pesta itu semasa menjawat portfolio Menteri Pelancongan Negeri suatu ketika dahulu sehingga dibina tapak tetap pesta sepertimana yang ada pada hari ini.

Beliau berkata, berikutan tarikan begitu baik terhadap Pesta Kaul Mukah, kerajaan Persekutuan telah membina lapangan baharu serta kemudahan infrastruktur lain untuk membawa ramai pelawat ke kawasan pesisiran pantai di bahagian tengah Sarawak itu.

-- BERNAMA