MALAYSIA
Pendekatan baharu diperlukan untuk perangi ancaman dadah - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Perhimpunan Agung Dwitahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kebangsaan ke-46 malam ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Pendekatan baharu yang tidak lagi berbentuk konvensional diperlukan bagi memerangi penyalahgunaan dadah di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ringkasan AI
- Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pendekatan baharu diperlukan bagi memerangi penyalahgunaan dadah yang kini banyak melibatkan dadah sintetik dan pengedaran melalui media sosial.
- 68 peratus penyalah guna dadah berumur 19 hingga 39 tahun, termasuk golongan profesional, menjejaskan produktiviti negara.
- Beliau mencadangkan penggunaan teknologi digital, portal maklumat, aplikasi pintar, serta kerjasama dengan pempengaruh bagi mendekati golongan muda.
"Kita harus mengakui kegagalan ini ... ketepikan perbezaan antara kita untuk memastikan bahawa biarpun negara tidak boleh 100 peratus bebas daripada penyalahgunaan dadah, tetapi tidak mustahil jika kita berjaya mengurangkannya ke tahap yang paling minimum," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian perhimpunan agung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) kali ke-46 di sini malam ini.
Ahmad Zahid berkata lebih merisaukan, laporan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendapati 68 peratus daripada keseluruhan penyalah guna dadah merupakan pemuda berumur 19 hingga 39 tahun termasuk golongan profesional.
"Dari segi jangka panjang, situasi ini akan menurunkan produktiviti apatah lagi aset negara ... tenaga kerja muda ini diperlukan bagi memberikan sumbangan dalam semua sektor di negara ini," katanya.
Beliau menyarankan agensi penguatkuasaan berkaitan serta Pemadam supaya mengambil pendekatan meningkatkan komunikasi dua hala dengan golongan sasar bagi mengurangkan gejala terbabit.
"Bukan sekadar memberi syarahan, tetapi juga menjadi pendengar yang memahami. Bukan hanya mendidik, tetapi turut menyelami emosi anak muda.
"Kita tidak hanya boleh bergantung pada pendekatan lama melalui ceramah dan pengedaran risalah, tetapi kita mesti menggunakan pendekatan komunikasi melalui teknologi digital," katanya.
Ahmad Zahid turut mencadangkan Pemadam untuk mewujudkan pasukan komunikasi digital di setiap negeri, memperkasakan modul latihan dan advokasi untuk sukarelawan.
Selain itu, beliau mengutarakan pandangan bahawa sebuah portal maklumat bersepadu dan aplikasi pintar perlu dibangunkan selain pemerkasaan kerjasama strategik dengan pempengaruh dan komuniti media sosial.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami