Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Pendekatan G2G lebih berkesan, elak ketirisan perolehan pertahanan - PM Anwar

Bernama 19/08/2025 | 06:00 MYT
ANWAR: Bila kita bincang terus dengan kerajaan, kos itu terus menurun kerana kos untuk ejen yang melampau tingginya itu telah kita hentikan dan sebab itu proses (tempah) pun sampai, dulu kalau tempah, mesti sangkut. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pendekatan perolehan secara terus antara kerajaan (G2G) dalam pembelian aset ketenteraan terbukti lebih berkesan, telus dan menjimatkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Malaysia kini mengutamakan pendekatan perolehan aset ketenteraan secara terus antara kerajaan (G2G) untuk elak kos komisen ejen dan kelewatan.
  • Beberapa projek ketenteraan dengan Korea, Turkiye dan Itali berjalan lancar di bawah dasar G2G, termasuk perolehan aset udara yang ditentukan oleh Jawatankuasa Teknikal TUDM.
  • Kerajaan memberi tumpuan kepada peningkatan kesiapsiagaan di Pulau Banggi dan Sabah susulan kehadiran ketenteraan Filipina dan AS di selatan Filipina.


Beliau berkata kaedah itu membolehkan rundingan terus dilakukan antara kerajaan Malaysia dengan negara pengeluar tanpa penglibatan pihak ketiga, sekali gus mengelakkan kelewatan dan pembaziran kos akibat pembayaran komisen yang tinggi kepada ejen.

"Bila kita bincang terus dengan kerajaan, kos itu terus menurun kerana kos untuk ejen yang melampau tingginya itu telah kita hentikan dan sebab itu proses (tempah) pun sampai, dulu kalau tempah, mesti sangkut," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu tahap kesiapsiagaan pertahanan negara dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik dunia dan serantau.

Perdana Menteri berkata pendekatan G2G kini menjadi dasar utama kerajaan dalam urusan perolehan strategik, termasuk dengan Korea, Turkiye dan Itali yang menyaksikan beberapa projek utama ketenteraan kini berjalan lancar dan mengikut jadual.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli berhubung cadangan pembelian pesawat Black Hawk atau pesawat pejuang F/A-18, Anwar berkata sebarang keputusan berhubung perolehan aset pertahanan udara negara akan dibuat melalui Jawatankuasa Teknikal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Mereka (jawatankuasa teknikal) akan penuh bertanggungjawab tentang kesiapsiagaannya, kalau tidak dapat dipertahankan kita tidak akan menandatanganinya. Itu jelas dasar kita," katanya.

Anwar berkata kerajaan juga memberikan tumpuan kepada peningkatan kesiapsiagaan khususnya di Pulau Banggi, Sabah susulan perkembangan geopolitik membabitkan kehadiran ketenteraan Filipina dan Amerika Syarikat di selatan Filipina yang berdekatan dengan sempadan negara.

"Saya setuju bahawa kedudukan geopolitik tidak menentu, baru-baru ini timbul penambahan kesiapsiagaan ketenteraan Filipina dan Amerika Syarikat di selatan Filipina yang berdekatan dengan Sabah.

"Saya hubungi Presiden (Filipina) Bongbong Marcos (Ferdinand Marcos Jr) dan dia sebut itu kerana menghadapi ofensif negara China, tetapi ini tentunya mengkhuatirkan, dan mendesak kita supaya meningkatkan kesiapsiagaan kita di Pulau Banggi dan Sabah untuk menjaga pertahanan kita," katanya.

-- BERNAMA






#Anwar Ibrahim #perolehan aset ketenteraan #secara terus #G2G