Pendekatan 'Keluarga Malaysia' jadi pemacu kejayaan negara - Persatuan Pemimpin Muda UM

Eton Khir
Ogos 24, 2021 12:07 MYT
San Shien berpendapat kerajaan perlu mengutamakan peranan golongan belia dan mahasiswa dalam memacu kejayaan negara. - Foto Facebook
KUALA LUMPUR: Pendekatan konsep 'Keluarga Malaysia' seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menyatukan semua pihak terutamanya ketika negara mendepani pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi amat disambut baik.
Presiden Persatuan Pemimpin Muda Universiti Malaya (UM), Lim San Shien menyifatkan konsep itu sebagai saling melengkapi kepada nilai persefahaman sedia ada dan turut memberi penekanan kepada kolaborasi yang merentasi kepelbagaian antara kaum, bangsa dan agama.
Tambahnya lagi, dengan pengenalan konsep ini rakyat Malaysia perlu lebih mengutamakan keharmornian dan bersiap siaga bersama kerajaan serta masyarakat bagi mengekang penularan pandemik yang semakin membimbangkan.
"Contohnya rakyat Malaysia boleh menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), menggalakkan orang ramai untuk mendaftar vaksinasi dan menyebarkan maklumat berita yang sahih.
"Selain itu, orang ramai turut boleh menghulurkan bantuan kapada golongan yang memerlukan menerusi program anjuran masyarakat umum, badan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti menderma dan menyokong tabung COVID-19 yang telah dilancarkan," katanya kepada Astro AWANI, pada Selasa.
Sementara itu, beliau turut berpendapat kerajaan perlu mengutamakan peranan golongan belia dan mahasiswa dalam memacu kejayaan negara.
"Tubuhkan satu kumpulan penasihat anak muda untuk memberi peluang dan juga platform kepada golongan ini untuk mengurus tadbir negara.
"Dan juga cadangan menubuhkan satu kumpulan rentas parti Parlimen Malaysia iaitu Hal Ehwal Belia (APPGM)," katanya.
BACA: PM ajak semua Ahli Parlimen selamatkan Keluarga Malaysia
San Shien, turut menegaskan pemimpin yang mengemudi negara perlulah mendengar dan menjadi nadi kepada rakyat. Ini kerana kerana pemimpin itu ibarat nakhoda yang mengemudi bahtera menuju ke destinasi dan rakyat pula perlulah memain peranan dalam memberi sokongan serta kerjasama agar pelayaran sentiasa lancar.
Sebelum ini pada Ahad, Ismail Sabri menggalakkan usaha sepakat membantu sesama masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan kaum melalui konsep Keluarga Malaysia.
Ujar beliau lagi, konsep berkenaan diambil kerana baginya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.
#Belia #Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #orang muda #Lim San Shein