MALAYSIA

Pendekatan keseluruhan kerajaan tangani isu 3R secara proaktif - Aaron

Bernama 12/05/2025 | 08:05 MYT
Aaron berkata pendekatan berkenaan merangkumi segmen penguatkuasaan yang melibatkan pendekatan hukuman dan kedua, segmen intervensi, mediasi serta kesedaran menerusi pendekatan pembaharuan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Langkah proaktif dalam menangani isu-isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) diambil menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan atau "Whole of Government" yang melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi secara bersepadu.

Ringkasan AI
  • Pendekatan keseluruhan kerajaan atau "Whole of Government" diambil untuk menangani isu-isu berkaitan agama, kaum, dan institusi diraja (3R) dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi secara bersepadu.
  • Segmen penguatkuasaan melibatkan tindakan undang-undang oleh KDN, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Komunikasi, dan MCMC terhadap pihak yang mencetuskan isu 3R, sementara segmen intervensi, mediasi, dan kesedaran menumpukan kepada pencegahan konflik dari peringkat akar umbi.
  • Inisiatif berimpak tinggi seperti pemantauan isu sensitif, pelantikan mediator komuniti, dan penubuhan Pusat Mediasi Komuniti dilaksanakan untuk memperkukuh pendidikan, kesedaran, dan pemulihan hubungan antara rakyat demi memastikan perpaduan negara terus terpelihara.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata pendekatan berkenaan merangkumi segmen penguatkuasaan yang melibatkan pendekatan hukuman dan kedua, segmen intervensi, mediasi serta kesedaran menerusi pendekatan pembaharuan.
Beliau berkata bagi segmen penguatkuasaan, kementerian dan agensi terlibat antaranya Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia, Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan isu 3R melalui pelbagai akta sedia ada.
"Siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa dan tindakan hanya diambil selepas pertimbangan sewajarnya oleh Jabatan Peguam Negara," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Bagi segmen intervensi, mediasi dan kesedaran pula, beliau berkata ia menumpukan kepada usaha mencegah konflik bermula dari peringkat akar umbi.
Aaron berkata kementeriannya memainkan peranan utama melalui pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi seperti pemantauan isu sensitif, pelantikan mediator komuniti, penubuhan Pusat Mediasi Komuniti serta penglibatan dalam Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Jawatankuasa Harmoni (JK HARMONI), Majlis Mesyuarat Menteri Perpaduan Bersama Menteri Perpaduan Sabah, Sarawak serta Exco Negeri (MExUnity) dan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan.
Beliau berkata turut digerakkan adalah pelbagai program dan kempen perpaduan yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keharmonian nasional.
"Langkah ini membuktikan komitmen kerajaan bukan sahaja dalam mengambil tindakan tegas terhadap pelaku isu 3R, tetapi juga dalam memperkukuh pendidikan, kesedaran dan pemulihan hubungan antara rakyat demi memastikan perpaduan negara terus terpelihara," katanya.
-- BERNAMA
#Kerajaan Madani #3R #Aaron Ago Dagang