MALAYSIA

Pendekatan pembinaan sekolah IBS pemangkin perubahan atasi isu sekolah padat - Fadhlina

Bernama 14/12/2025 | 08:00 MYT
Menteri Pendidikan hadir pada majlis penyerahan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Tahir Jalaluddin oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) hari ini. - Foto Bernama
BUKIT MERTAJAM: Projek pembinaan sekolah berkonsepkan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang mula dilaksanakan pada Mei tahun ini disifatkan sebagai pemangkin perubahan dalam usaha menangani isu sekolah dan kelas padat di seluruh negara.


Ringkasan AI
  • Projek pembinaan sekolah berkonsepkan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dilaksanakan mulai Mei tahun ini oleh Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kerja Raya, menunjukkan langkah penting dalam menangani isu sekolah dan kelas padat di Malaysia.
  • Pembinaan sekolah IBS memberi kesan positif dengan membolehkan Kementerian Pendidikan menangani kesesakan sekolah secara pantas dan berkesan, dengan sebanyak 127 pembinaan di seluruh negara, terutamanya di Selangor.
  • Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menyatakan rancangan KPM untuk melaksanakan projek ini secara meluas pada tahun hadapan, sambil memastikan kemudahan dan kelas yang siap sepenuhnya pada sesi persekolahan akan datang.


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) itu kebanyakan siap sepenuhnya dalam tempoh hanya beberapa bulan.

"Sebenarnya di peringkat KPM dan JKR, kami sudah mula pada Mei 2025 dan kebanyakannya telah pun siap 100 peratus. Ia menjadi antara reformasi penting KPM dalam aspek pembangunan serta infrastruktur pendidikan negara," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Tahir Jalaluddin di sini hari ini.

Fadhlina berkata pembinaan sekolah IBS memberi kesan langsung kepada keupayaan kementerian untuk menangani isu kesesakan sekolah secara pantas dan berkesan.

Beliau berkata projek berkenaan melibatkan sebanyak 127 pembinaan di seluruh negara, dengan 70 daripadanya tertumpu di Selangor, negeri yang berdepan isu kepadatan sekolah paling ketara.

"Tempoh pembinaan yang singkat membuktikan pendekatan itu praktikal dan berkesan untuk dilaksanakan secara lebih meluas," katanya.

Beliau berkata KPM merancang untuk melaksanakan projek berkenaan secara besar-besaran pada tahun hadapan, selain memastikan penggunaan kemudahan dan kelas yang siap sepenuhnya bermula pada sesi persekolahan baharu.

-- BERNAMA




#pembinaan sekolah #konsep IBS #sekolah padat #Fadhlina Sidek #Kementerian Pendidikan