MALAYSIA
Pendekatan politik perbalahan antara kaum tidak manfaatkan rakyat - PM Anwar
Perdana Menteri berkata beliau komited untuk terus mengangkat integriti, tadbir urus baik dan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. - Foto BERNAMA
TAWAU: Pendekatan politik berasaskan sentimen perkauman serta pertelagahan antara kaum dan etnik tidak akan membawa sebarang manfaat kepada rakyat dan negara, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri berkata beliau komited untuk terus mengangkat integriti, tadbir urus baik dan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
Anwar berkata beliau tidak memilih gaya politik yang menimbulkan permusuhan antara kelompok tertentu, sebaliknya menekankan keperluan membina perpaduan demi masa depan negara.
"Saya tidak kempen seperti orang lain yang Bugis marah Melayu, yang Melayu marah Cina, yang Sabah marah Semenanjung, saya tak mahu itu semua," kata beliau berucap pada Fiesta Demi Merotai Harapan Urang Sabah di Dewan Terbuka Merotai di sini malam ini.
Anwar berkata mana-mana individu yang bercita-cita menjadi wakil rakyat atau memimpin negeri dan negara perlu memastikan amanah rakyat dipelihara sepenuhnya kerana mereka akan sentiasa dinilai.
"Siapa mahu jadi wakil rakyat, siapa mahu perintah Sabah, siapa mahu perintah Malaysia mesti jaga amanah. Angkat martabat rakyat," kata Anwar.
Beliau turut mengkritik segelintir pihak yang dilihat sanggup menabur janji semata-mata untuk merebut kuasa.
Anwar turut menolak tanggapan bahawa Sabah tidak mempunyai kekayaan untuk dibangunkan, sebaliknya menegaskan negeri itu mempunyai potensi besar sekiranya diurus dengan cekap dan telus.
Selain itu, Perdana Menteri berkata keamanan di Sabah yang terdiri daripada pelbagai etnik perlu dikekalkan kerana keharmonian antara pelbagai kaum dan etnik adalah asas kepada kestabilan serta kemajuan negara.
"Negeri ini mesti aman, mesti bekerjasama," kata Perdana Menteri.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pendekatan politik berdasarkan sentimen perkauman tidak memberi faedah kepada rakyat dan negara, beliau komited kepada integriti, tadbir urus baik, dan kepentingan rakyat.
- Anwar menekankan pentingnya membina perpaduan untuk masa depan negara, menolak gaya politik yang memupuk permusuhan antara kaum, serta menegaskan perlunya menjaga amanah rakyat bagi mereka yang mahu memimpin negeri dan negara.
- Beliau juga menegaskan Sabah mempunyai potensi besar untuk dibangunkan dengan cekap, menolak pandangan bahawa negeri itu tidak mempunyai kekayaan, serta menekankan kepentingan keharmonian antara pelbagai etnik sebagai asas kepada kemajuan negara.