MALAYSIA

Pendekatan wajib SPM sebelum UEC kukuhkan daya saing pelajar sekolah Cina Sabah

Bernama 31/01/2026 | 06:30 MYT
Prestasi cemerlang pelajar persendirian Cina di Sabah dalam SPM menunjukkan pendekatan itu berkesan dengan kelulusan melebihi 90 peratus setiap tahun. - Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Sekolah-sekolah persendirian Cina di Sabah terus mengutamakan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai asas utama pendidikan, sebelum pelajarnya menduduki peperiksaan Unified Examination Certificate (UEC), sekali gus melahirkan pelajar berkelayakan berganda yang lebih berdaya saing.


Ringkasan AI
  • Sekolah-sekolah persendirian Cina di Sabah menekankan peperiksaan SPM sebelum UEC untuk melahirkan pelajar berkelayakan berganda yang lebih berdaya saing.
  • Prestasi cemerlang pelajar persendirian Cina di Sabah dalam SPM menunjukkan pendekatan ini berkesan dengan kelulusan melebihi 90 peratus setiap tahun.
  • Kerajaan Negeri Sabah akan tingkatkan Skim Biasiswa UEC untuk manfaatkan lebih ramai pelajar serta beri sokongan pendidikan yang menyeluruh kepada mereka.


Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib dalam kenyataan hari ini berkata pendekatan itu mencerminkan komitmen sekolah persendirian Cina di negeri ini dalam memastikan pelajar menguasai kurikulum kebangsaan, di samping memperoleh kelebihan tambahan melalui UEC.

Beliau berkata berdasarkan peraturan Dewan Sekolah-Sekolah Persendirian Cina Sabah, pelajar diwajibkan menduduki peperiksaan SPM sebelum mengambil UEC, satu amalan yang berbeza berbanding sekolah persendirian Cina di Semenanjung.

Pendekatan itu, katanya terbukti berkesan apabila calon dari sekolah persendirian Cina di Sabah mencatat prestasi cemerlang dalam peperiksaan SPM, dengan purata kadar kelulusan tahunan secara konsisten melebihi 90 peratus sepanjang tempoh sedekad yang lepas.

Beliau berkata prestasi itu mencerminkan keupayaan sekolah persendirian Cina di negeri ini melahirkan pelajar berdaya saing, seimbang dari segi akademik serta pembangunan holistik.

Sehubungan dengan itu, James berkata Kerajaan Negeri Sabah akan menyelaras serta menambah baik Skim Biasiswa Unified Examination Certificate bagi meluaskan skop manfaat kepada lebih ramai pelajar yang layak.

"Kerajaan Negeri Sabah amat menitikberatkan akses pendidikan tinggi dan pembangunan pelajar UEC. Kita akan terus bekerjasama rapat dengan Dewan Sekolah-Sekolah Persendirian Cina bagi mendapatkan sokongan dasar dan sumber pendidikan yang lebih menyeluruh untuk pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi Dewan Sekolah-Sekolah Persendirian Cina Sabah (Sabah Dong Zong) yang diketuai Pengerusinya Datuk Au Kam Wah hari ini.

James berkata pertemuan berkenaan turut mengukuhkan hubungan kerjasama antara kerajaan negeri dengan pihak sekolah persendirian Cina dalam usaha memperkasakan sistem pendidikan pelbagai aliran demi kemajuan Sabah.

-- BERNAMA




#UEC #sekolah cina sabah #SPM #dasar pendidikan