SHAH ALAM: 'Jangan diam, laporkan keganasan' telah dipilih sebagai tema bagi Konvensyen Kebangsaan Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, BHEUU berkata, tema tersebut memberikan penekanan betapa  pentingnya kesedaran dalam kalangan pendidik terhadap kepentingan melaporkan sesuatu kes  jenayah keganasan seksual terhadap murid dengan segera.

“Isu berhubung dengan jenayah seksual yang dilakukan terhadap kanak-kanak bukan satu isu yang baharu bahkan menjadi amat serius dan menjadi satu ancaman terhadap institusi kekeluargaan, sosial dan masa depan negara secara keseluruhannya.

“Berbanding jenis jenayah lain, jenayah seksual terhadap kanak-kanak adalah bentuk kekejaman  yang paling teruk dan terkutuk kerana ia boleh memberi pelbagai kesan jangka pendek dan jangka panjang bukan sahaja kepada kanak-kanak itu tetapi juga kepada keluarganya, komuniti serta masyarakat secara keseluruhannya,” katanya lagi.

Konvensyen tersebut turut mendapat kerjasama kerjasama agensi lain iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),  Setiausaha  Kerajaan  Negeri  Selangor  (SUK  Selangor),  Jabatan  Kebajikan Masyarakat(JKM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Polis Diraja  Malaysia  (PDRM).


Dalam usaha membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak, BHEUU berkata ia telah mengambil pelbagai inisiatif termasuk penggubalan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] Pindaan 2023 yang telah berkuat kuasa pada 21 Jun 2023.

Peruntukan bagi kesalahan persembahan seksual oleh kanak-kanak dan kesalahan pemerasan seksual kanak-kanak telah diwujudkan dalam akta tersebut.

Selain itu, Garis Panduan Khas untuk mengendalikan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak  turut mengambil kira cabaran yang dihadapi dan peruntukan undang-undang baharu.

“Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah menggubal Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual di Institusi Pendidikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2023 untuk mengendalikan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

“Konvensyen ini bermatlamat untuk memberi kesedaran kepada para pendidik mengenai kepentingan melaporkan semua jenis kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang di bawah  seliaan mereka serta menekankan kepentingan terbaik untuk mencegah dan melindungi mangsa serta mendakwa si pelaku," katanya lagi.

BHEUU berkata, konvensyen tersebut juga merupakan satu platform untuk berkongsi pandangan mengenai isu yang dihadapi oleh penguatkuasaan berhubung jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan kaedah terbaik yang boleh dilakukan memandangkan para pendidik adalah orang yang terdekat dengan murid.

Dalam pada itu BHEUU berkata, konvensyen tersebut turut menyaksikan termeterainya Nota Kerjasama di antara BHEUU dan KPM.

“Melalui Nota Kerjasama ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam perkara seperti berkongsi data dan statistik kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak, memperbaharui modul latihan untuk  guru dan kakitangan KPM, dan menganjurkan program-program kesedaran mengenai hak kanak-kanak dan keselamatan diri.

“Kerjasama ini akan berlangsung selama dua tahun mulai hari ini sehingga tahun 2026, di mana ini menunjukkan komitmen kerajaan MADANI untuk memastikan keselamatan semua kanak-kanak di dalam sistem pendidikan,” katanya lagi.