Pendidik perlu berani laporkan kes jenayah seksual libatkan murid

Astro Awani
Mac 16, 2024 09:50 MYT
BHEUU berkata, tema “Jangan diam, laporkan keganasan” memberikan penekanan betapa pentingnya kesedaran dalam kalangan pendidik terhadap kepentingan melaporkan sesuatu kes jenayah keganasan seksual terhadap murid dengan segera.
SHAH ALAM: 'Jangan diam, laporkan keganasan' telah dipilih sebagai tema bagi Konvensyen Kebangsaan Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, BHEUU berkata, tema tersebut memberikan penekanan betapa pentingnya kesedaran dalam kalangan pendidik terhadap kepentingan melaporkan sesuatu kes jenayah keganasan seksual terhadap murid dengan segera.
“Isu berhubung dengan jenayah seksual yang dilakukan terhadap kanak-kanak bukan satu isu yang baharu bahkan menjadi amat serius dan menjadi satu ancaman terhadap institusi kekeluargaan, sosial dan masa depan negara secara keseluruhannya.
“Berbanding jenis jenayah lain, jenayah seksual terhadap kanak-kanak adalah bentuk kekejaman yang paling teruk dan terkutuk kerana ia boleh memberi pelbagai kesan jangka pendek dan jangka panjang bukan sahaja kepada kanak-kanak itu tetapi juga kepada keluarganya, komuniti serta masyarakat secara keseluruhannya,” katanya lagi.
Konvensyen tersebut turut mendapat kerjasama kerjasama agensi lain iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK Selangor), Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada ucapan saya di Konvensyen Mengenai Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual hari ini, saya tekankan berhubung peranan guru untuk melaporkan walaupun perkara sensitif. Para pendidik dilindungi oleh undang-undang apabila melaporkan kebimbangan dengan niat baik. Jadi, pic.twitter.com/5gj6lHLfDf

— Azalina Othman Said (@AzalinaOthmanS) March 16, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dalam usaha membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak, BHEUU berkata ia telah mengambil pelbagai inisiatif termasuk penggubalan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] Pindaan 2023 yang telah berkuat kuasa pada 21 Jun 2023.
Peruntukan bagi kesalahan persembahan seksual oleh kanak-kanak dan kesalahan pemerasan seksual kanak-kanak telah diwujudkan dalam akta tersebut.
Selain itu, Garis Panduan Khas untuk mengendalikan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak turut mengambil kira cabaran yang dihadapi dan peruntukan undang-undang baharu.
“Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah menggubal Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual di Institusi Pendidikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2023 untuk mengendalikan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
“Konvensyen ini bermatlamat untuk memberi kesedaran kepada para pendidik mengenai kepentingan melaporkan semua jenis kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang di bawah seliaan mereka serta menekankan kepentingan terbaik untuk mencegah dan melindungi mangsa serta mendakwa si pelaku," katanya lagi.
BHEUU berkata, konvensyen tersebut juga merupakan satu platform untuk berkongsi pandangan mengenai isu yang dihadapi oleh penguatkuasaan berhubung jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan kaedah terbaik yang boleh dilakukan memandangkan para pendidik adalah orang yang terdekat dengan murid.
Dalam pada itu BHEUU berkata, konvensyen tersebut turut menyaksikan termeterainya Nota Kerjasama di antara BHEUU dan KPM.
“Melalui Nota Kerjasama ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam perkara seperti berkongsi data dan statistik kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak, memperbaharui modul latihan untuk guru dan kakitangan KPM, dan menganjurkan program-program kesedaran mengenai hak kanak-kanak dan keselamatan diri.
“Kerjasama ini akan berlangsung selama dua tahun mulai hari ini sehingga tahun 2026, di mana ini menunjukkan komitmen kerajaan MADANI untuk memastikan keselamatan semua kanak-kanak di dalam sistem pendidikan,” katanya lagi.
#BHEUU #keganasan seksual #Kanak-kanak #Kementerian Pendidikan