MALAYSIA

Pendidikan baik lahirkan insan cemerlang akademik, berakhlak - PM Anwar

Bernama 16/01/2026 | 11:01 MYT
Anwar berkata sejak penubuhannya, YAA berperanan menyediakan ruang pembelajaran yang terancang dan berdisiplin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pendidikan yang baik bukan sahaja melahirkan insan cemerlang dari segi akademik, malah berakhlak, beradab dan bertanggungjawab kepada masyarakat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata prinsip itu menjadi asas kepada penubuhan Yayasan Anda Akademik (YAA) pada 1971, bagi memberi peluang kedua kepada golongan pelajar tercicir untuk bangkit melalui pendidikan.

"Falsafah yang mendasari penubuhan YAA adalah keyakinan bahawa pendidikan tidak seharusnya bersifat eksklusif atau menyingkirkan, sebaliknya mesti membangunkan dan memanusiakan," katanya pada majlis pelancaran buku Bangkit Semula: Memoir Warga Yayasan Anda Akademik di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Anwar berkata YAA diasaskan sejurus beliau menamatkan pengajian di Universiti Malaya, didorong oleh keprihatinan terhadap masalah keciciran pelajar, khususnya dalam kalangan anak muda daripada keluarga berpendapatan rendah di bandar dan luar bandar.

Katanya YAA lahir daripada kesedaran moral dan keinsafan zaman, dibina bukan dengan kemewahan atau kekuasaan, tetapi dengan idealisme, kesukarelawanan, kerja keras dan kepercayaan terhadap potensi insan sehingga menjadikannya lebih daripada sebuah institusi pendidikan, sebaliknya sebuah madrasah kehidupan.

"YAA diwujudkan sebagai sebuah ikhtiar sederhana tetapi berjiwa besar untuk memberikan peluang kedua kepada mereka yang kurang bernasib baik agar dapat menyambung pelajaran, membina keyakinan diri dan menemukan kembali makna ilmu dalam kehidupan mereka," katanya.

Anwar berkata sejak penubuhannya, YAA berperanan menyediakan ruang pembelajaran yang terancang dan berdisiplin, membolehkan pelajar menyambung pengajian di peringkat menengah dan prauniversiti, serta membina asas keyakinan diri, ilmu pengetahuan dan hala tuju hidup yang lebih jelas.

Tambah beliau, falsafah pendidikan yang mendasari penubuhan YAA, kemudiannya dirumuskan dalam gagasan Insan Akademis yang Bertakwa, kekal relevan dalam usaha membina Malaysia MADANI yang berteraskan keadilan, ihsan, kemanusiaan serta keseimbangan antara kemajuan material dan pembangunan rohani.

Sementara itu, Anwar berkata buku Bangkit Semula: Memoir Warga Yayasan Anda Akademik bukan sekadar catatan nostalgia, tetapi dokumen sejarah sosial dan pendidikan yang merakam perjuangan, pengorbanan serta keteguhan mereka yang mempercayai pendidikan sebagai jalan pembebasan dan peluang kedua untuk membina makna hidup.

"Apa yang ditampilkan dalam buku ini adalah suara para pendidik, pentadbir dan alumni - kisah manusia sebenar, jatuh dan bangkit, gagal dan berusaha, ragu dan yakin kembali, keciciran dan peluang kedua.

"Inilah naratif yang amat diperlukan dalam masyarakat hari ini, ketika kejayaan sering diukur secara sempit dan kegagalan dianggap noktah akhir," katanya.

Anwar berkata buku itu membawa pesan moral bahawa masyarakat berdaya tahan ialah masyarakat yang tidak memadam masa lalunya tetapi belajar daripadanya, tidak menafikan luka sebaliknya mengubahnya menjadi sumber kekuatan, serta menghargai jasa institusi kecil dan senyap yang telah melahirkan insan besar dan bererti.

Buku setebal hampir 400 halaman itu diterbitkan Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM) dengan kerjasama UNISEL Press dan Yayasan Penataran Ilmu (YPI), menghimpunkan kisah benar para guru, pelajar, pentadbir dan alumni YAA, termasuk kata aluan oleh Anwar selaku Pengasas dan Bekas Pengarah YAA.

-- BERNAMA

#Anwar Ibrahim #Yayasan Anda Akademik #YAA #Dr Mohammed Taufiq Johari