Ringkasan AI
- Menteri Kerja Raya menegaskan transformasi digital industri pembinaan perlu inklusif agar manfaatnya dinikmati semua lapisan, termasuk kontraktor kecil dan sederhana.
- Platform digital MENARABENA dilancarkan untuk memudahkan akses bahan binaan, memperkemas perolehan, serta menghubungkan pemain industri tempatan dan antarabangsa.
- Pendigitalan dijangka meningkatkan kecekapan, menjimatkan kos, dan mempercepatkan proses pembinaan daripada enam bulan kepada dua hingga tiga bulan.
KUALA LUMPUR: Transformasi digital dalam industri pembinaan perlu dilaksanakan secara inklusif bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati semua lapisan industri khususnya kontraktor kecil dan sederhana, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata pendigitalan menjadi keperluan penting bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan daya saing industri pembinaan yang berhadapan pelbagai cabaran, terutama dalam pengurusan kos, pematuhan spesifikasi bahan dan penyiapan projek mengikut jadual.
“Transformasi digital mestilah inklusif dan memberikan manfaat kepada semua lapisan industri, termasuk kontraktor gred G1 hingga G7, khususnya kontraktor kecil dan sederhana melalui platform yang mudah digunakan serta sokongan yang bersesuaian,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran MENARABENA, sebuah platform digital perniagaan-ke-perniagaan (B2B) di sini hari ini.
Nanta berkata kejayaan pendigitalan turut memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran dan bersedia menerima perubahan, justeru latihan, bimbingan serta sokongan penggunaan teknologi perlu diperkukuh bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh.
Beliau berkata kerjasama strategik antara kerajaan dengan industri juga penting bagi memastikan pembangunan teknologi menghasilkan penyelesaian praktikal yang memenuhi keperluan sebenar industri.
Dalam pada itu, Nanta berkata aspek kualiti, standard dan pematuhan tidak boleh dikompromi dalam usaha memperluas akses pasaran, manakala ketepatan maklumat produk, kejelasan spesifikasi, kebolehpercayaan pembekal serta keselamatan data perlu diberikan keutamaan bagi menjamin keyakinan pengguna.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, Nanta berkata MENARABENA berpotensi meningkatkan kecekapan urusan industri pembinaan dengan memudahkan akses kepada maklumat produk serta pensijilan produk pembinaan.
“Saya difahamkan dengan ada MENARABENA, prosedur atau proses (dalam pembinaan) selama ini mungkin mengambil masa enam bulan, sekarang dapat dipendekkan kepada dua hingga tiga bulan sahaja.
“…dan apabila kita boleh menyingkatkan proses itu, jadi sudah tentunya kita dapat lebih kecekapan dan lebih menjimatkan kos dalam segala yang kita uruskan (kerja pembinaan),” katanya.
MENARABENA dilancarkan Menara Asia Sdn Bhd dengan kerjasama CIDB Holdings Bhd bagi memudahkan akses kepada bahan binaan, memperkemas proses perolehan serta menghubungkan pemain industri dengan pasaran tempatan dan antarabangsa.
Platform itu mengintegrasikan keupayaan digital dalam perolehan, pemasaran produk, penyelarasan penghantaran dan penjejakan pesanan dan ia terbuka kepada pemain industri pembinaan, termasuk kontraktor gred G1 hingga G7, pengilang, pembekal dan pemaju.
-- BERNAMA