MALAYSIA
Pendirian Malaysia sokong Iran tepat, berlandaskan prinsip keadilan sejagat
Mohd Azizuddin berkata, tindakan balas Iran terhadap serangan Israel adalah sah di sisi Perkara 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang membenarkan hak untuk mempertahankan diri. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Pendirian Malaysia menyokong hak Iran untuk mempertahankan kedaulatan negara itu susulan serangan Israel disifatkan sebagai langkah yang tepat dan selaras dengan prinsip keadilan sejagat serta undang-undang antarabangsa.
Penganalisis politik antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, tindakan balas Iran terhadap serangan Israel adalah sah di sisi Perkara 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang membenarkan hak untuk mempertahankan diri.
"Tindakan Iran mempertahankan diri adalah sah di bawah undang-undang antarabangsa manakala serangan Israel pula jelas melanggar undang-undang.
"Oleh itu, pendirian Malaysia menyokong Iran dalam konteks ini adalah tepat dan berlandaskan prinsip keadilan sejagat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan program Ruang Bicara 'Konflik Iran-Israel (Negara Haram): Bara Perang Dunia? terbitan Bernama TV, pada Selasa.
Sebelum ini, Malaysia melalui kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyuarakan keprihatinan terhadap peningkatan ketegangan antara Iran dan Israel sambil menegaskan, keganasan bukan jalan penyelesaian.
Namun, dalam kerangka keadilan sejagat, Malaysia mengakui hak Iran untuk bertindak balas terhadap sebarang bentuk pencerobohan yang mencabuli kedaulatan negara itu.
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Badlishah Sham Baharin pula berkata, pendirian negara dalam isu ini adalah lanjutan daripada komitmen lama dalam mempertahankan hak rakyat Palestin yang dizalimi sejak berdekad.
"Malaysia memang konsisten sejak dahulu lagi dalam membela hak rakyat yang tertindas. Contohnya, Malaysia antara yang terlantang di pentas dunia untuk membela hak orang Palestin.
"Apabila ini berlaku pada Iran, Malaysia sekali lagi bangun untuk menyuarakannya... mengutuk serangan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh Israel sebab tidak ada satu pun undang-undang dunia membenarkan negara lain menyerang sebuah negara berdaulat yang lain atas apa alasan sekalipun," katanya.
-- BERNAMA
#konflik Israel-Iran
#Pendirian Malaysia
#Malaysia sokong Iran
#Israel langgar undang-undang
#Israel serang Iran