MALAYSIA

Penduduk Aman Putri dakwa kontraktor 'cap ayam’ punca jalan rosak teruk

Faida Rahim 06/12/2025 | 11:07 MYT
Penduduk Aman Putri menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap keadaan turapan jalan yang didakwa rosak teruk sejak 2023. - Foto Astro AWANI
SUNGAI BULOH: "Laluan jalan raya di kawasan rumah kami umpama 'rumah pelacur'."


Ringkasan AI
  • Penduduk Aman Putri, Abdul Razak Ismail, mengeluhkan keadaan turapan jalan di laluan Kuala Selangor-Kepong berhampiran kawasan perumahannya sejak tahun 2023, merasakan jalan itu sering diperlakukan tanpa maruah.
  • Abdul Razak mendakwa sistem tender dan deposit daripada pemaju tidak dipantau dengan teliti, menyebabkan kontraktor yang tidak berpengalaman terus diberi kerja walaupun rekod aduan terhadap mereka tinggi.
  • Penduduk lain, Dr. Shangar Nadarajan, Pengerusi Persatuan Penduduk Aman Putri Seksyen U17, Shah Alam, berkata kualiti kerja tampalan jalan raya di kawasan perumahan itu tidak memenuhi piawaian, menimbulkan risiko kemalangan dan kerusakan jalan selepas hujan.


Itu keluhan Abdul Razak Ismail, penduduk Aman Putri, di Sungai Buloh yang meluahkan rasa kecewa terhadap keadaan turapan jalan di laluan Kuala Selangor-Kepong berhampiran kawasan perumahannya yang didakwa telah berlarutan sejak tahun 2023.

Razak mendakwa, jalan tersebut seolah-olah diperlakukan tanpa maruah yang mana sesiapa sahaja boleh menggunakan atau boleh dikorek sesuka hati oleh mana-mana pihak kontraktor, tanpa kawalan dan penyelarasan yang baik.

"Jalan dari Bandar Baru Sungai Buloh ini, sampai ke Saujana Putra, saya anggap jalan di sini umpama 'rumah pelacur'. Siapa bayar (pihak terbabit) untuk korek, dia bagi orang itu korek jalan. Saya anggap macam rumah pelacur mereka buat.

"Kita nak suruh revamp sebenarnya. Kamu bagi tender kepada syarikat-syarikat kontraktor ini, sama ada syarikat penyedia telekomunikasi atau penyedia perkhidmatan internet, kamu kena coordinate.

"Kerana bukan kamu bukan hari ini bagi tender kepada syarikat kontraktor untuk korek jalan. Kenapa tak urus dengan baik?," dakwanya.

Sekitar 30 penduduk Aman Putri berkumpul menyuarakan ketidak puasan hati  terhadap keadaan turapan jalan yang turut menjadi laluan utama yang menghubungkan Paya Jaras ke Bukit Darah yang dilaporkan rosak teruk sejak 2023. - Foto Astro AWANI


Abdul Razak turut mendakwa sistem tender dan deposit daripada pemaju tidak dipantau dengan teliti, menyebabkan kontraktor yang tidak berpengalaman terus diberi kerja walaupun rekod aduan terhadap mereka tinggi.

Abdul Razak turut menzahirkan rasa kecewa kerana jalan tersebut berada di bawah pentadbiran empat pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Selayang, Kuala Selangor, Shah Alam dan Gombak , namun sehingga kini dakwanya tiada pihak tampil menyelesaikan masalah.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk Aman Putri, Thangarajah Manickam, meluahkan rasa kecewa terhadap keadaan turapan jalan raya di sekitar kawasan perumahan itu dan menyifatkan kualiti kerja yang dilakukan umpama kontraktor 'cap ayam'.

Dia berkata, masalah timbul apabila kerja menurap semula jalan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang betul, menyebabkan permukaan jalan cepat rosak.

"Satu sahaja, kami di sini bukan kita menentang, kerja itu biar mereka lakukan. Tapi SOP yang mereka buat itu tak betul. Saya anggap kerja yang dilakukan oleh kontraktor itu adalah kontraktor 'cap ayam'. Tak tahu apa yang mereka buat.

"Premis yang sebelum itu boleh tahan sampai lima hingga tujuh tahun, tapi bila mereka korek dan tampal, selepas dua hari lori yang lebih muatan lalu, habis. Hujan turun, habis rosak," katanya.

Penduduk mendakwa kualiti kerja tampalan jalan raya di kawasan perumahan itu tidak menepati piawaian sehingga membahayakan pengguna. - Foto Astro AWANI


Dalam masa sama, Dr Shangar Nadarajan yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Aman Putri Seksyen U17, Shah Alam mendakwa, kualiti kerja tampalan jalan raya di kawasan perumahan itu tidak menepati piawaian sehingga membahayakan pengguna.

Dia mendakwa, kerja korekan dan tampalan yang dilakukan oleh pelbagai agensi tidak berkualiti, menyebabkan jalan mudah rosak selepas hujan dan mengundang risiko kemalangan.

"Ramai sangat agensi yang buat kerja, kerja korekan. Dia korek lepas itu tampal, kerja tampalan itu yang teruk sangat sekarang. tak ada kualiti langsung. Mungkin kontraktor itu tak tahu pasal kualiti. Kualiti bermakna memenuhi piawaian yang ditetapkan, mencabar kepuasan pelanggan.

"Apa piawaian untuk tampalan? Kita nak buat jalan raya tar, untuk buat tampalan itu yang tiada kualiti. Bila tak ada kualiti lepas hujan, jalan raya itu akan jadi lubang. Bila jadi lubang orang naik motor, jadi kemalangan. Banyak kes berlaku di jalan ini," katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Puteri Rene Shahnie Mohd Shahauddin berkata, banyak kemalangan telah berlaku di kawasan berkenaan, termasuk insiden sebuah kereta menjunam ke dalam lubang yang sedang dikorek.

Menurutnya, kejadian itu berlaku apabila kenderaan berkenaan dipercayai cuba mengelak lubang di jalan, sebelum terjatuh ke dalam kawasan korekan.

"Kami dah nampak banyak kemalangan berlaku, tapi kami tahu data sebenar. Saya sendiri pernah nampak satu kereta menjunam ke dalam lubang yang sedang dikorek. Mungkin kereta itu cuba mengelak lubang, dan saya nampak pekerja kontraktor itu sedang menarik seorang pakcik keluar daripada lubang itu sendiri.

"Itu antara perkara besar yang pernah saya nampak selain lori roro yang mungkin terbabas akibat jalan yang tak stabil," luahnya lagi.

Hari ini, sekitar 30 penduduk Aman Putri berkumpul menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap keadaan turapan jalan yang turut menjadi laluan utama yang menghubungkan Paya Jaras ke Bukit Darah dilaporkan rosak teruk sejak 2023.

Penduduk turut menuntut tindakan segera daripada pihak berkuasa untuk memastikan kontraktor harus bertanggungjawab dan kerja jalan dipantau dengan teliti oleh pihak berkuasa bagi memastikan ia selamat digunakan.






#pbt #Jabatan Kerja Raya #Aman Putri #turapan jalan