JOHOR BAHRU: Penduduk Kampung Sungai Tiram di sini bakal mencipta kelainan tersendiri dalam mengalunkan takbir Hari Raya Aidilfitri pada malam terakhir Ramadan nanti, dengan berarak menaiki lori berhias berkonsepkan reka bentuk masjid.

Pengasasnya Saiful Abdul Rashid, 67, berkata idea untuk mengadakan perarakan yang dinamakan Program Malam Gema Takbir itu tercetus bagi menarik anak-anak muda daripada berhimpun atau melepak di kampung pada malam raya.

Beliau berkata program tradisi yang diadakan sejak 1997 tersebut berjaya menarik perhatian ramai sehinggakan penduduk sanggup menanti di hadapan rumah dan tepi jalan raya untuk menyaksikan perarakan yang dilimpahi pelbagai cahaya berwarna-warni itu.

"Pada awalnya kita bermula dengan hanya sebuah lori dan menggunakan lampu kalimantang yang digantung, selepas itu, pada tahun berikutnya, barulah ada ilham supaya lori dihias dan ia diteruskan tahun demi tahun," katanya kepada Bernama di sini.

Menurutnya, program pada tahun ini pastinya lebih meriah kerana sebanyak lima lori akan digunakan untuk perarakan yang akan membabitkan jarak sejauh 10 kilometer.

Saiful berkata setiap lori memerlukan tenaga kira-kira 10 orang untuk menyiapkan hiasan yang menggunakan bahan seperti kayu sebelum ditambah dengan pelbagai dekorasi dan cahaya.

"Kita giat membuat persiapan sejak pertengahan Ramadan ini dan tentunya program ini akan lebih meriah kerana orang ramai dapat pulang ke kampung halaman pada tahun ini," katanya.

JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK 

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang Fauzi Faizal berkata usaha penduduk kampung yang mengekalkan tradisi itu sehingga kini perlu diberikan pujian dan ia juga boleh dijadikan sebagai produk pelancongan di negeri ini berdasarkan keunikannya.

Beliau turut bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K.Raven Kumar bagi memasukkan program berkenaan dalam kalendar pelancongan Johor.

"Saya fikir di Johor, kampung ini satu daripada kampung yang menganjurkan program seumpama ini dan ia konsisten sejak lebih 20 tahun lepas, jadi saya fikir ia layak dimasukkan di dalam kalendar pelancongan negeri sekali gus menarik pelancong ke sini," katanya.

-- BERNAMA