MALAYSIA

Penduduk gesa tindakan segera atasi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Teratai

Astro Awani 18/01/2026 | 15:05 MYT
Kejadian tanah runtuh melibatkan penduduk Taman Saga yang terletak di atas bukit, manakala penduduk Taman Bukit Teratai berada di lereng bukit. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Penduduk Taman Saga berharap tindakan segera dilaksanakan oleh pihak berwajib susulan kejadian tanah runtuh setinggi 20 kaki di lereng bukit Taman Bukit Teratai Ampang di sini pagi tadi.

Astro AWANI difahamkan kejadian tersebut berpunca daripada paip bawah tanah milik Indah Water Konsortium (IWK) yang telah pecah pada awal pagi Ahad.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Residensi 915, Devakumaran Kannan menyatakan penduduk telah membuat aduan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai Yew Jia Haur mengenai kedudukan saluran paip IWK yang mula berubah pada Disember lalu.

Beliau turut menggesa pihak IWK untuk membuat pemeriksaan berkala di setiap paip bawah tanah memandangkan kawasan tersebut telah didiami sejak 35 tahun lalu.

“Kita tunjuk ada tanah IWK sudah mula runtuh (sedikit) dan ada paip yang telah pecah…bulan Januari sudah jadi macam ini,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di tapak kejadian.

Walaupun tiada kediaman rosak atau kehilangan nyawa dilaporkan, Devakumaran memaklumkan bahawa kejadian sekitar jam 8.40 pagi tadi menyebabkan sebuah kenderaan hampir tergelongsor.

Susulan laporan daripada penduduk, pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah berada di lokasi kejadian sejak awal pagi.

Antara tindakan yang diambil ialah langkah-langkah keselamatan dan kerja-kerja mitigasi segera bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berulang kembali.

Pengerusi Kelab Rukun Tetangga Taman Saga, Ab Rahman Majid turut menzahirkan penghargaan kepada pihak berwajib atas tindakan segera.

Namun beliau berharap agar kerja penyelenggaraan dilakukan di sepanjang jalan melibatkan Taman Saga dan Taman Bukit Teratai terutama melibatkan kawasan bercerun.

“Kebanyakan kawasan di sini adalah bercerun jadi kita mohon pihak MPAJ membuat kerja senggaraan di sepanjang jalan dan di kawasan lain,” katanya.


#Ampang #tanah runtuh #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #teratai