[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Penduduk Kampung Manis tolak lanjutan pajakan MSM Prai, mahu pembangunan semula demi rakyat

Umavathi Ramayah 19/09/2025 | 06:30 MYT
R Ramanneesan berkata, langkah melanjutkan pajakan MSM Prai seolah-olah memperlihatkan Felda hanya mengutamakan kepentingan korporat, sedangkan rakyat menderita. - Foto penduduk Kampung Manis
KUALA LUMPUR : Penduduk Kampung Manis, Butterworth, Pulau Pinang menolak cadangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan MSM Prai Berhad (MSM Prai) untuk melanjutkan pajakan 30 tahun ke atas kilang penapisan MSM Prai itu.


Ringkasan AI
  • Penduduk Kampung Manis menolak lanjutan pajakan kilang MSM Prai kerana mahu tanah itu dibangunkan semula demi kesejahteraan komuniti setempat.
  • Projek pembangunan semula dijangka menyediakan rumah mampu milik, infrastruktur lebih baik dan peluang ekonomi baharu kepada ribuan keluarga yang telah lama tinggal dalam keadaan serba kekurangan.
  • Felda mempertahankan lanjutan pajakan atas alasan keterjaminan makanan dan kos tinggi pembinaan fasiliti baharu, namun penduduk menegaskan kepentingan rakyat perlu diutamakan.


Sebaliknya mereka menegaskan tanah berkenaan wajar dibangunkan semula demi kesejahteraan penduduk setempat.

Menurut wakil penduduk, R Ramanneesan, langkah melanjutkan pajakan MSM Prai seolah-olah memperlihatkan Felda hanya mengutamakan kepentingan korporat, sedangkan rakyat menderita.

"Kini tiba masanya rakyat didahulukan. Selepas sekian lama MSM Prai menikmati manfaat daripada tanah ini, kini giliran penduduk Kampung Manis pula untuk merasai pembangunan serta menjamin masa depan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Ramanneesan menjelaskan kawasan berkenaan sudah dikenal pasti Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang bersama Perbadanan Aset Keretapi (RAC) untuk projek pembangunan semula yang dijangka memberi manfaat kepada ribuan keluarga.

Menurutnya, pembangunan semula tanah tersebut bakal membuka ruang kepada penyediaan rumah mampu milik, infrastruktur lebih baik serta prospek ekonomi baharu untuk ribuan keluarga.

“Sudah berdekad-dekad kami (penduduk Kampung Manis) hidup dalam rumah uzur dan rosak dengan prasarana yang rosak, longkang tersumbat serta jalan berlubang.

“Pembangunan semula tanah ini mampu menyediakan perumahan mampu milik, infrastruktur lebih baik dan peluang ekonomi baharu untuk komuniti," ujar Ramanneesan.

Media sebelum ini melaporkan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sedang berunding dengan kerajaan Pulau Pinang dan RAC supaya kilang penapisan MSM Prai diberi kelonggaran untuk terus beroperasi sehingga 30 tahun demi keterjaminan makanan.

Beliau berkata, pihaknya memerlukan lanjutan tempoh pajakan tanah itu bagi membolehkan perancangan rapi termasuk pelan perniagaan secara terperinci dapat dibuat.

Ahmad Shabery berkata sekiranya operasi kilang gula di Perai ditutup, ia akan memberi kesan menyeluruh kepada negara memandangkan fasiliti berkenaan merupakan pengeluar utama.

Beliau menjelaskan pembinaan fasiliti baharu memerlukan pelaburan kira-kira RM4 bilion, manakala usaha menaik taraf kilang sedia ada di Johor untuk menampung kapasiti pengeluaran Perai pula menelan kos sekitar RM1 bilion.

Katanya lagi, sebarang keputusan memindahkan operasi ke lokasi lain juga perlu mengambil kira aspek logistik kerana penapisan gula memerlukan gudang simpanan berhampiran pelabuhan bagi tujuan eksport, sekali gus memastikan kos lebih rendah dan operasi lebih efisien.

Jelasnya, setakat ini tiada lokasi baharu dikenal pasti untuk memindahkan operasi kilang gula Perai, namun pilihan itu tidak diketepikan sekiranya langkah tersebut terpaksa diambil.








#Felda #MSM Prai Berhad #kerajaan pulau pinang #Kampung Manis