SANDAKAN: Lebih 750 penduduk Kampung Rancangan Luboh, Peringkat Enam, Sandakan, tabah menjalani kehidupan walaupun terputus bekalan air bersih sejak tahun 2018.

Selepas bekalan air bersih ke kampung itu terputus, panduduk hanya menerima bekalan air bersih dengan kaedah penghantaran menggunakan lori tangki air.

Bagaimanapun, sejak awal Julai lalu, penghantaran berkenaan tiba-tiba dihentikan.

Menurut suri rumah, Lizzah Sikar, sejak penghantaran air bersih dihentikan, penduduk terpaksa membeli air sendiri.

"Dari sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sehingga sekarang memang tidak pernah ada air.

"Tahun lalu ada lori tangki air datang ke sini hantar air tetapi sejak sebelum Hari Raya Haji sampai hari ini, tiada penghataran lagi," katanya.

Menurutnya, dalam tempoh ini, mereka terpaksa membeli air bersih dengan harga RM40 untuk sebuah tangki dengan kapasiti 1,000 liter.

"Kami hanya berharap kepada air hujan sahaja selain terpaksa membeli air RM40 untuk satu tangki," katanya.

Katanya, air itu digunakan untuk memasak sahaja.

Jika ingin mandi pula, mereka akan mengambil air dari kolam berdekatan atau mandi di kolam terbabit.

"Air yang dibeli itu boleh bertahan dalam seminggu sahaja. Kalau untuk mandi, kami ambil air daripada kolam," katanya.

Sementara itu, seorang lagi suri rumah, Halimah Barhamah berkata, pembelian air menggunakan tangki berkenaan tidak dapat dilakukan setiap hari kerana terlalu ramai pelanggan.

Ini memaksa mereka mencari kaedah lain bagi mendapatkan sumber air bersih untuk diminum dan memasak.

"Kami memang membeli air mineral sebab kami mempunyai ramai anak dan cucu.

"Kalau dua kotak memang tidak mencukupi untuk satu hari. Kami terpaksa juga membeli air walaupun ia sangat membebankan," katanya.

Sementara itu, pekerja buruh Kalui Gurin memaklumkan, walaupun rumahnya antara 30 buah rumah daripada 145 di kampung berkenaan yang masih menerima bekalan air bersih, namun tekanan air yang diterima sangat rendah.

"Setiap hari saya akan bangun jam 2 pagi untuk tadah air sampai jam 4 atau 5 pagi sehingga menyebabkan saya kurang sihat kerana kurang tidur.

"Kalau kita tidak bertungkus-lumus begini, mungkin kita tidak dapat air langsung," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jumidil Putra berkata, hampir setiap hari penduduk kampung datang ke rumahnya untuk mengadu isu berkenaan..

"Sebagai JPKK saya sudah berusaha memajukan beberapa permohonan supaya masalah air ini dapat diselesaikan.

"Malangnya sebelum hari raya saya sudah minta air sebab setiap hari dalam 30 orang akan datang ke rumah saya minta air," katanya.

Dalam sebulan mereka yang berpendapatan rendah terpaksa pula membeli air paling sedikit sebanyak empat tangki.

Katanya, penduduk kampung sangat terbeban dengan keadaan itu kerana rata-rata mereka hanya  memiliki pendapatan RM600 hingga RM800 sebulan.

Justeru, pihaknya berharap penyaluran bekalan air bersih ke kampung itu dapat dibaiki dengan segera ataupun penghantaran air menggunakan tangki air dapat dimulakan secepat mungkin.

Jika ingin mandi pula, mereka akan mengambil air dari kolam berdekatan atau mandi di kolam terbabit. - Astro AWANI

Susulan masalah air dihadapi penduduk kampung, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Mokran Ingkat berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung masalah dihadapi penduduk kampung berkenaan.

Bagi menyelesaikan masalah itu pihaknya sudah berhubung dan berbincang dengan pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Sandakan.

Berdasarkan maklumat daripada JANS Sandakan, masalah air di kampung berkenaan berlaku disebabkan satu projek pembangunan bekalan air bersih dan pemasangan paip air di kawasan terbabit yang sedang dijalankan ketika ini.

Disebabkan kerja-kerja berkenaan, bekalan air ke kampung itu tergendala.

Namun, bagi menangani isu berkenaan dengan segera, pihaknya akan menyediakan empat buah tangki air simpanan sementara berkapasiti 3,600 liter setiap tangki untuk kegunaan penduduk kampung terbabit.

“Kami telah meminta JPKK untuk memasang tangki air bagi memudahkan penyaluran bekalan air bersih ini kepada penduduk, kemungkinan besar ia akan ditempatkan di masjid.

"Saya juga akan mencari peruntukan bagi memasang kemudahan tangki itu untuk diisi Jabatan Air tiga kali seminggu," katanya.

Menurutnya, kerja-kerja penyediaan empat buah tangki itu dijangka akan dijalankan pada minggu hadapan.

Mokran berkata, masalah air di hadapi penduduk itu dijangka akan selesai sepenuhnya kira-kira sembilan bulan lagi selepas projek pembangunan air ke kawasan itu siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun hadapan.

Katanya ketika ini, projek air itu sudah siap kira-kira 80 peratus.

Pemasangan paip-paip air sudahpun dijalankan dan kini hanya tinggal kerja-kerja pembinaan tangki air di kawasan yang tinggi di Kampung Lalasun.

Projek berkenaan akan memanfaatkan lebih 7,000 penduduk bukan sahaja di Kampung Rancangan Luboh, tetapi juga di empat buah kampung sekitar.

"Bekalan air itu nanti akan meliputi Dandulit, Lalasun, Tanjung Pisau, Kampung Luboh dan Sungai Daling,” katanya.