Tindakan penduduk Jalan SS1/41 dan 22/57 Kampung Tunku membantah cadangan untuk membina sebuah banglo tiga tingkat sejak lima tahun lalu lansung tidak mendatangkan sebarang hasil.

Penduduk setempat mendakwa pembinaan itu bakal menimbulkan pelbagai masalah seperti kesesakan lalu lintas serta kejadian tanah runtuh berikutan pembinaan rumah tersebut dibina di lereng cerun.

Pembinaan berhampiran perumahan

Penduduk, V. Subramaniam mendakwa, pembinaan banglo itu sudah pun dimulakan sejak hujung tahun lepas tanpa dimaklumkan pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Walaupun penduduk setempat sudah menyuarakan kebimbangan mereka kepada Ahli Majlis Zon 6, Tiew Way Keng pada mesyuarat yang diadakan MBPJ, pembinaan ini tetap diluluskan juga,” katanya kepada Astro Awani.

Tambahnya, risiko pergerakan tanah cerun sangat tinggi dengan cadangan menambak lagi tanah akan memberikan lebih tekanan kepada cerun sekaligus boleh mengakibatkan kegagalan cerun dan kerosakan kepada 12 buah rumah yang terletak hanya 20 hingga 30 kaki dari tapak pembinaan.

Bantahan oleh penduduk setempat dikatakan telah dikemukakan kepada MBPJ sejak 18 Februari 2008 namun sehingga kini kerja-kerja pembinaan banglo bernilai RM1.5 juta sebuah itu masih berjalan seperti biasa.

Seorang penduduk yang telah mendiami rumah sekitar kawasan itu lebih 30 tahun, Nur Aziela Shamsuddin berkata ianya tidak wajar untuk kerja pembinaan dijalankan tanpa diberi sebarang notis dari pihak MBPJ.

“Sehingga kini kami tidak dapat sebarang maklum balas setelah menghadiri sidang mesyuarat MBPJ, namun secara tiba-tiba kami menerima satu kenyataan daripada rrkitek pembinaan bahawa cadangan rumah banglo tersebut telah diluluskan oleh MBPJ,” kata Aziela dengan kecewa.

Seorang lagi penduduk, Datuk GA Chidampparam menyatakan, penduduk disini membantah pembinaan ini kerana lot tanah itu merupakan tanah lapang hijau yang sering digunakan penduduk sekitar sebagai tempat rekreasi dan aktiviti-aktiviti komuniti.

“Ianya tidak wajar untuk penduduk setempat, tapak itu sering digunakan bagi kenderaan berat untuk membuat pusingan U, sekiranya tiada lagi ruang bagaimana kenderaan bomba memasuki kawasan perumahan itu jika berlaku kebakaran,” tambahnya.

Ketinggian tanah sehingga bumbung rumah

Susulan itu seramai 20 pemilik rumah di sekitar kawasan pembinaan tersebut telah menandatangani petisyen bantahan terhadap projek pembinaan rumah banglo di tapak berkenaan.

“Sekiranya apa-apa yang terjadi kepada penduduk setempat siapa yang harus dipersalahkan ? saya berharap pihak berkuasa akan meneliti masalah yang dialami oleh penduduk di sekitar kawasan ini termasuk diri saya sendiri,” kata Chidampparam.