[TERKINI] Lagi Kes Serangan Seksual di Sekolah: 4 Pelajar Ditahan di Baling – Klik untuk Laporan Penuh
MALAYSIA

Penduduk lihat serpihan struktur bangunan diterbangkan ribut

Bernama 15/10/2025 | 22:20 MYT
Keadaan bumbung Sekolah Kebangsaan Sijangkang Jaya musnah akibat kejadian ribut yang melanda pada Rabu. - Gambar Bernama
KUALA LANGAT: Seorang penduduk di Kampung Medan, Sijangkang, di sini, melihat serpihan struktur bangunan berterbangan dan berpusing di udara dalam kejadian ribut yang melanda kawasan itu semalam.

Shahidatul Adawiyah Amat Seroh, 30, yang bekerja di sebuah kedai di Telok Panglima Garang berkata, cuaca bertukar gelap pada 3.30 petang dan dia melihat barangan yang diterbangkan angin walaupun berada agak jauh dari tempat kejadian.

"Saya terus menghantar mesej kepada kakak yang bekerja sebagai runner kerana bimbang dan mahu mengingatkannya untuk berhati-hati supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Sementara itu, Zainuzirah Zainuddin, 38, yang sedang menghantar barang berkata, dia membuat keputusan untuk berhenti di sebuah pasar raya berhampiran kerana angin begitu kencang dan kilat sabung-menyabung.

Keputusan itu juga dibuat kerana ramai rakannya memberitahu angin di kawasan itu begitu kuat, selain berlaku kejadian pokok tumbang.

Pekerja pelabuhan Erri Abdullah, 35, berkata, kejadian itu menyebabkan bahagian hadapan kereta isterinya rosak ditimpa batang pokok, semasa hendak menjemput anak pulang dari Sekolah Kebangsaan Sijangkang Jaya.

"Isteri menunggu di kawasan berhampiran sekolah dan mahu mengalihkan kereta selepas melihat cuaca semakin buruk. Bagaimanapun, angin begitu kuat sehingga kereta sukar untuk bergerak ke depan, selain dia melihat beberapa penunggang motosikal hilang keseimbangan.

"Saya bersyukur isteri dan anak berusia lima tahun yang berada dalam kereta selamat walaupun mereka masih terkejut dengan kejadian itu," katanya yang berada di tempat kerja semasa kejadian dan dimaklumkan menerusi panggilan telefon.

Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kejadian menyebabkan seorang wanita berusia 51 tahun cedera di pinggang dan peha selepas terperangkap di bawah runtuhan bumbung Dewan Wawasan Kampung Medan yang turut menempatkan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang.

Selain itu, bumbung sebuah premis bersebelahan dewan yang menempatkan surau Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) juga runtuh menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh murid cedera ringan.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi mendapati terdapat serpihan zink dipercayai dari kilang berhampiran juga diterbangkan ribut sehingga memasuki kawasan sekolah berdekatan.

-- BERNAMA


#ribut #serpihan struktur bangunan #penduduk Sijangkang #ribut di Sijangkang