MALAYSIA

Penduduk Malaysia pada suku ketiga 2025 meningkat kepada 34.3 juta - DOSM

Bernama 13/11/2025 | 10:24 MYT
Pertumbuhan penduduk pada ST3 2025 adalah 0.5 peratus, iaitu lebih perlahan berbanding 1.6 peratus pada ST3 2024. - Gambar hiasan/Bernama
PUTRAJAYA: Penduduk Malaysia pada suku tahun ketiga (ST3) 2025 dianggarkan berjumlah 34.3 juta berbanding 34.1 juta pada tempoh sama tahun lepas, menurut laporan perangkaan demografi bagi ST3 tahun ini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata pertumbuhan penduduk pada ST3 2025 adalah 0.5 peratus, iaitu lebih perlahan berbanding 1.6 peratus pada ST3 2024.

Komposisi penduduk pada tempoh tersebut merangkumi 90.1 peratus warganegara dan 9.9 peratus bukan warganegara.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata penduduk lelaki meningkat kepada 18 juta pada ST3 2025 daripada 17.9 juta (ST3 2024) manakala perempuan meningkat kepada 16.3 juta daripada 16.2 juta bagi tempoh yang sama.

"Nisbah jantina keseluruhan penduduk ialah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan manakala nisbah jantina bagi warganegara ialah 102," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata penduduk Melayu menyumbang 58.2 peratus daripada jumlah penduduk pada ST3 2025 manakala komposisi penduduk Cina menurun kepada 22.2 peratus daripada 22.3 peratus pada ST3 2024.

Komposisi bumiputera lain dan India masing-masing kekal pada 12.3 peratus dan 6.5 peratus.

Pada ST3 2025 juga, Mohd Uzir berkata bilangan kelahiran hidup terus merekodkan penurunan sebanyak 7.8 peratus kepada 95,469 kelahiran berbanding 103,594 kelahiran pada ST3 2024, selaras dengan pertumbuhan penduduk yang perlahan.

Beliau berkata Selangor merekodkan bilangan kelahiran hidup tertinggi dengan 18,019 kelahiran (18.9 peratus) manakala kelahiran hidup terendah direkodkan di Wilayah Persekutuan Labuan dengan 316 kelahiran (0.3 peratus).

"Secara purata seorang bayi dilahirkan pada setiap minit, 43 bayi bagi setiap jam dan 1,038 bayi sehari pada ST3 2025" katanya

Mengenai angka kematian, Mohd Uzir berkata sebanyak 46,643 kematian telah direkodkan pada tempoh tersebut, menurun 5.6 peratus berbanding ST3 2024 (49,399 kematian).

Beliau berkata nisbah jantina kematian ialah 134 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

"Secara purata satu kematian direkodkan pada setiap dua minit manakala 21 kematian direkodkan setiap jam dan 507 kematian sehari pada ST3 2025," katanya.

Mohd Uzir berkata dunia ketika ini menyaksikan trend penurunan dalam kadar kelahiran dan kadar kesuburan jumlah (TFR), dengan semakin banyak negara mencatatkan TFR di bawah paras penggantian iaitu 2.1 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun.

"Fenomena ini menimbulkan cabaran besar kepada struktur demografi, pertumbuhan ekonomi dan keseimbangan sosial di peringkat global dan negara," katanya.

-- BERNAMA

#penduduk malaysia #DoSM #populasi #kelahiran #demografi