Setiap kali Beledheed Sarol, 42, ingin menjerang air, dia terpaksa menapis air daripada paip terlebih dahulu.

Ini kerana sumber air yang digunakan adalah daripada air bukit yang disalurkan menerusi paip ke rumahnya di Kampung Ulu Geruntum, di sini.

"Apabila kita buka paip, memang ada banyak kotoron. Misalnya, rumput, pasir dan serpihan kayu. Kadang-kadang tengok ada udang kecil yang halus masuk juga," katanya.

"Batu-batu kecil dan pasir yang tidak ditapis terlebih dahulu boleh merosakkan mesin basuh, kata Beledheed."

Itulah rutin harian Beledheed, sama ada untuk tujuan membasuh, memasak atau minum, air yang digunakan terpaksa ditapis terlebih dahulu.

"Walaupun ditapis, kadang-kadang pasir yang halus masuk juga. Kalau memasak nasi, kadang-kadang boleh rasa macam ada pasir halus. Kalau air keruh, warna nasi juga jadi perang sedikit," katanya.

Kaedah tapisan yang digunakan adalah menerusi kain penapis seperti yang digunakan dalam membancuh teh di kedai mamak atau penapis plastik.

Setiap hari, Beledheed juga perlu membersihkan penapis berikutan kekotoran yang melekat.

Tinjauan kami mendapati kesan kekotoran cukup ketara berikutan tiada sistem penapisan bagi menapis dan merawat air bukit itu.

Beledheed guna penapis untuk menapis kekotoran sebelum membasuh pakaian. - Foto Astro AWANI

Beledheed menunjukkan kesan kekotoran yang melekat pada kain penapis selepas menapis air bukit yang disalurkan menerusi paip rumahnya. - Foto Astro AWANI
Di setiap rumah di kampung itu mempunyai kain penapis pada paip sinki dapur bagi menapis air.

Menurut Tok Batin, Judu Anak Lelaki Tangoi, 50, setiap kali hujan, penduduk terpaksa berjaga-jaga berikutan kualiti air turun mendadak.

"Masa hujan kita tidak boleh pakai air langsung sebab air itu keruh. Jadi kita terpaksa sediakan air dalam cerek dan dalam baldi sebagai persiapan sekiranya hujan," katanya.

Ekoran kualiti air yang kurang memuaskan, komuniti orang asli di perkampungan itu sering mengalami masalah kesihatan seperti cirit birit khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas.

Malah kes kencing tikus pernah dilaporkan berlaku di kampung berkenaan.

"Kencing tikus pernah ada kes. Kalau musim hujan, setiap bulan mesti ada kes cirit birit, sakit perut dan muntah-muntah. Cuma kita buat rawatan di hospital atau klinik berdekatan," katanya.

Bagi menyiasat keadaan sebenar punca air yang tercemar, kami bersama NGO Global Peace Foundation Malaysia dan beberapa orang kampung menjejaki air ke sumbernya.

Bagi menyiasat keadaan sebenar punca air yang tercemar, kami menjejaki air ke sumbernya. - Foto Astro AWANI
Selepas kira-kira 30 minit mendaki Bukit Kuo di perkampungan itu, kami menemui kolam atau empangan buatan manusia yang dibina oleh orang kampung secara gotong-royong.

Air dari bukit berkenaan menggali ke dalam empangan berkenaan dalam keadaan yang terdedah dan air yang ditakung kemudian disalurkan menerusi paip turun ke perkampungan.

Menurut Pengurus Kanan Program, Global Peace Foundation Malaysia, Archana Divi, masalah timbul apabila hujan, kekotoran, pasir dan tanah akan memasuki kawasan tadahan air itu, sekaligus mencemarkan sumber bekalan air yang merupakan satu-satunya sumber air utama bagi penduduk Kampung Ulu Geruntum.

"Apabila pertama kali kami mendapat tahu ada penduduk kampung yang susah dapat air bersih. Kami memang terkejut sebab kita duduk di bandar, air itu adalah perkara biasa. Semua orang ada mempunyai hak asasi kepada air bersih, tetapi ada juga yang tidak ada hak itu. Sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Bagi mengatasi masalah kualiti air di kampung berkenaan, Global Peace Foundation Malaysia dengan kerjasama syarikat Laneige Malaysia mengadakan kempen untuk mengumpul dana bagi memasang sistem penapisan air di kampung itu.

Menurut Archana, sistem penapisan air itu dijangka dapat menampung 16,000 liter air sehari.

"Kami akan mendapatkan sistem penapisan air daripada syarikat Jerman, Riviva yang mempunyai kepakaran dalam sistem penapisan air yang kurang kosnya tetapi apabila ditapis, air itu boleh digunapakai dan selamat diminum," katanya.

Ketika ini, kira-kira 200 orang penduduk di Kampung Ulu Geruntum hanya bergantung kepada air bukit sebagai sumber air utama.

Menerusi kempen "Water Sharing" Laniege, setiap pembelian botol air edisi terhad yang dijual pada harga RM10 setiap satu akan disalurkan terus kepada pemasangan sistem penapisan air.

Sejumlah RM50,000 berjaya dikumpul melalui kempen yang dilancarkan sejak 1 Mei lalu dan kempen berakhir 31 Julai ini.