Penduduk Orang Asli dianggarkan meningkat kepada 227,900 tahun ini - DOSM

Pahang mencatat penduduk komuniti itu tertinggi dengan 82,824 orang pada 2020, diikuti Perak (58,942) dan Selangor (21,312). - Gambar fail
PUTRAJAYA: Populasi Orang Asli di Malaysia dianggarkan meningkat kepada 227,900 pada 2025 berbanding 213,461 pada 2020 dengan kadar purata pertumbuhan tahunan penduduk sebanyak 1.2 peratus.
Ringkasan AI
- Populasi Orang Asli Malaysia dianggarkan meningkat kepada 227,900 pada 2025 dengan kadar pertumbuhan tahunan 1.2 peratus; Pahang mencatat jumlah tertinggi diikuti Perak dan Selangor.
- Komuniti ini terdiri daripada tiga kumpulan etnik utama Senoi, Melayu Proto dan Negrito dengan Melayu Proto mencatat peningkatan kepada 44.4 peratus pada 2020.
- Majoriti Orang Asli bekerja sendiri (59.7%), manakala kelahiran menurun dan kematian meningkat pada 2024; penyakit jantung iskemik menjadi punca utama kematian menggantikan pneumonia.
Penduduk Orang Asli terdiri daripada 108,354 atau 50.8 peratus lelaki berbanding perempuan dengan 105,107 (49.2 peratus).
Menurut laporan berdasarkan penemuan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 itu, nisbah jantina kekal, iaitu 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan pada 2020 dan 2010 dengan nisbah tertinggi direkodkan di Wilayah Persekutuan Labuan (150), Sabah (116) dan Kedah (115).
Mohd Uzir berkata masyarakat Orang Asli terdiri daripada tiga kumpulan etnik utama, iaitu Senoi, Melayu Proto dan Negrito yang merangkumi 18 subetnik dengan peratusan penduduk Melayu Proto meningkat kepada 44.4 peratus pada 2020 manakala Senoi dan Negrito masing-masing menurun kepada 53.5 peratus dan 2.1 peratus pada tahun sama.
Etnik Senoi terdiri daripada subetnik Temiar, Semai, Mah Meri, Jahut, Che Wong dan Semoq Beri. Kumpulan Melayu Proto pula termasuk Jakun, Temuan, Semelai, Orang Kuala, Orang Kanaq dan Orang Seletar manakala Negrito merangkumi Kensiu, Kintaq, Jahai, Mendriq, Bateq dan Lanoh.
"Majoriti penduduk Orang Asli bekerja sendiri, merangkumi 59.7 peratus pada 2020 berbanding 50.2 peratus pada 2010. Pekerja sektor swasta merupakan kumpulan kedua tertinggi dengan 28.7 peratus, diikuti pekerja kerajaan (6.6 peratus), pekerja keluarga tanpa gaji (4.3 peratus) dan majikan (0.7 peratus)," katanya.
Kelahiran hidup Orang Asli pada 2024 ialah 4,198 menurun sebanyak 9.1 peratus daripada 4,620 kelahiran (2020) dan Pahang merekodkan bilangan kelahiran hidup tertinggi dengan 1,779 pada 2024.
Kematian Orang Asli meningkat 23.4 peratus (1,278) pada 2024 daripada 1,036 pada 2020 dengan Pahang merekodkan kematian tertinggi, iaitu 526 pada 2024.
Mohd Uzir berkata penyakit jantung iskemik merupakan sebab kematian utama penduduk Orang Asli pada 2020 (12.5 peratus) berbanding pneumonia (12 peratus) pada 2010.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami