MALAYSIA

Penduduk Pahang diminta waspada fenomena air pasang besar

Bernama 05/11/2025 | 08:15 MYT
Paras air laut dijangka meningkat di kawasan pesisir seperti Kuantan, Pekan dan Rompin. - Gambar hiasan
KUANTAN: Penduduk di Pahang dinasihatkan supaya berwaspada dan sentiasa peka terhadap fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku bermula hari ini sehingga bulan depan.

Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kuantan Rohushsyifa Ahmad Radzi, berkata paras air laut dijangka meningkat di kawasan pesisir seperti Kuantan, Pekan dan Rompin.

"Penduduk dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga, terutama mereka yang tinggal berhampiran sungai dan kawasan rendah kerana lokasi tersebut berisiko dilanda banjir sekiranya berlaku air pasang serentak dengan hujan lebat pada musim Monsun Timur Laut (MTL) ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan taklimat fungsi dan kesedaran stesen telemetri serta siren Pusat Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) di pekarangan Surau Kampung Galing, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu Chan Chun Kuang.

Rohushsyifa berkata berdasarkan data yang diperoleh, fenomena air pasang besar dijangka berlaku dari hari ini hingga 8 Nov serta pada 10 dan 11 Nov, terutamanya pada waktu malam dan awal pagi.

Beliau berkata fenomena sama turut diramal berlaku pada waktu malam dan awal pagi pada 3 hingga 7 Dis, 9 hingga 11 Dis serta 20 hingga 22 Dis, selain 24 dan 25 Dis.

Sementara itu, beliau berkata daerah ini mempunyai 57 kawasan berisiko banjir, dengan 19 lokasi dipasang stesen siren yang kini dalam fasa pengujian.

Katanya sebelum ini JPS mengesan gangguan terhadap beberapa stesen siren yang disyaki berpunca daripada haiwan.

"Orang ramai diminta segera memaklumkan kepada JPS sekiranya siren berbunyi tanpa sebab supaya tindakan lanjut dapat diambil," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat dua jenis bunyi siren utama iaitu siren amaran ketika air sungai melepasi aras amaran dengan penduduk diminta bersiap sedia untuk berpindah manakala siren bahaya semasa air sungai melepasi paras bahaya serta penduduk diminta berpindah serta-merta.

-- BERNAMA



#Pahang #air pasang besar #orang ramai diminta berwaspada #banjir pahang