Kebanyakan penduduk yang melihat sendiri kejadian 'puting beliung kecil' di Pandamaran, Klang mengakui trauma dengan kejadian yang menimpa mereka pada petang Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Pandamaran Jaya, Ariffin Mat Atan berkata, bagaimanapun penduduk bersyukur kerana tiada kejadian buruk melibatkan nyawa berlaku.

"Penduduk ada memberitahu mereka trauma kerana kejadian semalam. Kebanyakan terkejut kerana inilah pertama kali ia terjadi di kawasan ini," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Pada Selasa, kejadian 'puting beliung kecil' di Pandamaran membabitkan dua buah blok pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pandamaran Jaya.

Beberapa video pendek kejadian itu turut diterima orang ramai melalui sistem pesanan WhatsApp.

Kata Ariffin lagi, pihaknya sedang membuat bancian terperinci untuk menentukan bilangan sebenar rumah yang terjejas akibat kejadian itu.

"Jumlah rumah yang terlibat masih belum dipastikan, bagaimanapun lebih 30 rumah terlibat. Sekarang tengah buat bancian dari rumah ke rumah untuk menentukan kos kerugian secara terperinci. Seperti di rumah teres, bukan hanya kediaman di tingkat atas sahaja yang mengalami kerugian akibat kerosakan atap, pemilik di tingkat bawah juga ada mengadu tentang kerosakan awning mereka.

"Beberapa kenderaan yang diparkir juga mengalami kerosakan akibat terkena atap yang terbang dari rumah pangsa berkenaan.

"Bagaimanapun ada juga penduduk yang tidak ada di rumah kerana bercuti sempena Deepavali. Ini menimbulkan sedikit masalah untuk proses bancian," ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Perhubungan Awam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Ishak Hashim dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan mengambil langkah proaktif melantik empat kontraktor bagi kerja-kerja baik pulih di lima blok pangsapuri yang terlibat.

Jelasnya, PKNS juga sudah menghantar 'Response Team' untuk membantu kira-kira 40 pemilik rumah yang terjejas.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan, kejadian itu dipercayai berpunca daripada ketidakstabilan atmosfera dan kelembapan udara yang tinggi.

Ia turut berpunca penumpuan angin di paras rendah serta ketidakstabilan atmosfera yang bertindak sebagai pemangkin bagi pembentukan awan ribut petir berskala besar.