MALAYSIA

Penduduk Pos Pasik risau ancaman gajah liar

Bernama 06/09/2025 | 12:30 MYT
Pasik Jimi berkata haiwan itu sering muncul di kawasan rumah dan tidak takut dengan kehadiran manusia. - Gambar hiasan/Sinar Harian
GUA MUSANG: Hampir 1,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pos Pasik di sini bimbang dengan kehadiran tiga ekor gajah yang berkeliaran di sekitar kampung itu sejak hampir setahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) RPS Pasik Jimi Arifin berkata haiwan itu sering muncul di kawasan rumah dan tidak takut dengan kehadiran manusia.

"Penduduk kerap terserempak dengan gajah liar terbabit ketika dalam perjalanan menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Permai. Tiga ekor gajah liar itu masih berada di kawasan berhampiran dan mengacau sekitar kampung sehingga memberi tekanan serta tidur kami sering terganggu kerana perlu berjaga-jaga.

"Kami bimbang dengan keselamatan anak yang masih kecil dan baru-baru ini juga pihak Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) telah datang membuat pemantauan di kampung ini selepas laporan dibuat," katanya ketika ditemui pemberita di Pos Pasik, di sini hari ini.

Penduduk Misbun Arifin, 44, pula berkata kadangkala ada antara mereka yang menaiki motosikal untuk menghantar anak ke sekolah terpaksa berpatah balik selepas terserempak dengan haiwan terbabit, malah tanaman yang diusahakan turut rosak dimakan gajah itu.

"Saya menanam ubi kayu kira-kira 10 meter dari rumah dan kebun yang diusahakan itu turut dimasuki gajah liar sehingga pokok jadi rosak akibat dipijak serta dicabut gajah," katanya.

-- BERNAMA



#Orang Asli #Perhilitan #gajah liar #suku kaum Temiar