MALAYSIA

Penduduk Pulau Sebatik gusar isu ceroboh tanah, keselamatan sempadan

Seth Akmal 07/08/2025 | 13:04 MYT
Penduduk berhampiran sempadan di Kampung Sungai Pukul, Kampung Lahat-Lahat, Kampung Pisak-Pisak dan Kampung Sungai Melayu mendakwa tanah sering diceroboh oleh pekebun dari negara jiran. - Astro AWANI/Seth Akmal.
TAWAU: Ketiadaan kawalan sempadan yang menyeluruh terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk di Pulau Sebatik yang terbahagi kepada dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

Astro AWANI turun padang meninjau sendiri realiti di kawasan perbatasan ini bagi mendapatkan reaksi penduduk tempatan yang saban hari berdepan ancaman seperti insiden pencerobohan dan isu keselamatan di halaman sendiri.

Penduduk berhampiran sempadan di Kampung Sungai Pukul, Kampung Lahat-Lahat, Kampung Pisak-Pisak dan Kampung Sungai Melayu mendakwa tanah sering diceroboh oleh pekebun dari negara jiran.

“Orang dari seberang sudah masuk tanah kita, tapi sebab tak mampu nak bangunkan lagi, orang luar pula ambil kesempatan,” kata Ketua Kampung Pisak-Pisak, Harom Taboyo.

Harom turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan lebih banyak pos keselamatan di kawasan berisiko, bagi memastikan kehadiran penguat kuasa dapat dilihat dan dirasai penduduk.

“Kita harap kerajaan buat satu pos kawalan yang sesuai di kampung-kampung (berhampiran sempadan) agar penduduk rasa selamat,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Ketua Kampung Sungai Pukul, Hussin Pansal, lebih membimbangkan, tindakan penduduk mempertahankan hak tanah seringkali mengundang ancaman fizikal oleh penceroboh

“Bila kita tegur mereka lawan balik, ada yang bawa parang, kami terpaksa mengalah demi keselamatan,” ujarnya.

Hussin turut menekankan kepentingan kehadiran pos kawalan sebagai langkah pencegahan awal.

“Bila ada pos, orang sebelah pun tahu mereka tak boleh masuk sesuka hati,” katanya.


Jenayah rentas sempadan

Mazlan Tala dari Kampung Lahat-Lahat menjadi saksi kawasan kediamannya menjadi laluan keluar masuk penduduk dari negara jiran setiap hari.

“Kadang-kadang orang keluar masuk, kita tidak kenal siapa, kawasan saya ini dalam 20 minit boleh sampai ke perbatasan dengan berjalan kaki,” katanya.

Keadaan ini turut mengheret nama baik kampung, apabila individu asing yang ditahan dalam kes jenayah rentas sempadan kadangkala ada yang dikaitkan dengan penduduk tempatan.

“Bila orang dari seberang kena tangkap di sini, nama kampung kita juga yang disebut, padahal bukan orang kita,” luah Ketua Kampung Bergosong, Sidik Kadir.

Berbanding Indonesia yang mempunyai pos kawalan berhampiran sempadan, tinjauan mendapati Malaysia hanya mempunyai satu pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Sungai Melayu dan difahamkan sebuah lagi pos bakal dibina.

Dua balai polis yang terletak di Kampung Bergosong dan Kampung Wallace Bay, berkedudukan lebih 5 kilometer dari sempadan dengan akses jalan darat melalui ladang kelapa sawit dan jalan raya yang perlu diturap.

Pulau Sebatik juga merupakan antara sembilan kawasan sempadan yang sebahagiannya masih belum dimuktamadkan secara rasmi antara Malaysia dan Indonesia iaitu Outstanding Boundary Problems (OBP), khususnya berkaitan sambungan sempadan darat ke laut di perairan Laut Sulawesi.

Malaysia berpendirian bahawa baki sempadan darat di Sektor Timur, khususnya kawasan antara pasang surut di pantai timur Pulau Sebatik, perlu diselesaikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto semasa Rundingan ke-13 pada Julai turut menyatakan komitmen untuk menyelesaikan isu sempadan darat dan maritim secara menyeluruh, temasuk segmen OBP.


#jenayah rentas sempadan #Pulau Sebatik #Ambalat #Malaysia