MALAYSIA
Penduduk Putra Heights terima semula bekalan gas hari ini
Pemasangan talian paip gas sementara sepanjang kira-kira 210 meter itu bagi menggantikan bahagian paip yang rosak dalam kejadian berkenaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penduduk Putra Heights yang terjejas akibat insiden kebakaran paip gas pada 1 April lepas, kini boleh menarik nafas lega apabila bekalan gas yang stabil akan disalurkan semula menerusi paip sementara mulai hari ini.
Ringkasan AI
- Penduduk Putra Heights yang terjejas akibat kebakaran paip gas pada 1 April kini menerima bekalan gas stabil melalui paip sementara sepanjang 210 meter, dengan sokongan struktur asas jambatan dan ujian keselamatan ketat yang menunjukkan tiada kebocoran.
- Fasa Dua projek akan melibatkan penggantian tiga talian paip sepanjang 200 meter setiap satu, diletakkan atas papak konkrit untuk ketahanan jangka panjang, dan dijangka beroperasi pada suku ketiga tahun depan selepas reka bentuk kejuruteraan disiapkan.
- PETRONAS diarahkan menyediakan pemantauan masa nyata terhadap sistem injap isolasi paip, manakala JKKP memberi jaminan semua kerja dipantau rapi demi keselamatan penduduk, pekerja dan premis sekitar serta komited memulihkan keyakinan terhadap sistem paip gas.
Menurut Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), pemasangan talian paip gas sementara sepanjang kira-kira 210 meter itu bagi menggantikan bahagian paip yang rosak dalam kejadian berkenaan.
"Penambahbaikan dan penstabilan tanah dijalankan di lokasi menggunakan struktur asas jambatan (bridge foundation support) bersaiz kira-kira 8 meter x 100 meter bagi memberikan sokongan lebih kukuh pada paip," menurut JKKP dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, bagi memastikan keselamatan maksimum, beberapa ujian ketat turut dijalankan termasuk Ujian Tanpa Musnah (NDT) pada sambungan kimpalan serta ujian tekanan selama 24 jam.
Hasil ujian yang disahkan JKKP dan pihak ketiga yang berkecuali menunjukkan tiada sebarang kebocoran atau penurunan tekanan.
Fasa Dua projek itu akan melibatkan penggantian tiga talian paip sepanjang kira-kira 200 meter setiap satu di lokasi terjejas, dan paip berkenaan akan diletakkan atas struktur papak konkrit bagi menjamin keselamatan serta ketahanan sistem dalam tempoh lebih lama.
"Reka bentuk kejuruteraan untuk fasa itu sedang disiapkan dan dijangka mula beroperasi pada suku ketiga tahun depan," menurut kenyataan itu.
Beberapa kajian geoteknikal turut dilaksanakan termasuk pemetaan tanah, kajian lapisan batuan dan pemantauan pergerakan tanah bagi memastikan kestabilan tapak pemasangan secara menyeluruh.
Sebagai langkah kawalan tambahan, PETRONAS telah diarahkan untuk menyediakan akses pemantauan masa nyata terhadap sistem injap isolasi paip bagi membolehkan penutupan pantas sekiranya berlaku kecemasan.
Jabatan itu turut memberi jaminan semua kerja pemilihan dipantau rapi dan tanpa prejudis bagi menjamin keselamatan pekerja, penduduk dan premis perniagaan sekitarnya.
"JKKP memahami keperluan mendesak penduduk dan perniagaan untuk mendapatkan bekalan gas yang selamat dan stabil secepat mungkin. Kami komited untuk memantau setiap peringkat projek ini bagi memastikan ia dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan mengembalikan keyakinan pengguna terhadap keselamatan sistem paip gas di kawasan ini," menurut jabatan itu.
Dalam insiden kebakaran pada 1 April itu, sebanyak 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus dan 81 rumah lagi rosak sebahagian, manakala 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar.
Sebanyak 218 rumah lain, termasuk di Kampung Tengah, Puchong, dilaporkan tidak mengalami sebarang kerosakan.
-- BERNAMA