MALAYSIA

Penduduk Seri Perantau rayu campur tangan segera kerajaan negeri selepas 13 hari tanpa elektrik

Faida Rahim 20/12/2025 | 02:45 MYT
Lebih 1,000 penghuni terjejas tanpa prosedur kecemasan yang dilaksanakan, menyebabkan kesukaran kepada pesakit, peniaga, warga emas, dan pesakit dialisis. - Astro AWANI
PELABUHAN KLANG: Penduduk Perumahan Seri Perantau di Pelabuhan Klang merayu campur tangan segera Kerajaan Negeri Selangor bagi menyelesaikan gangguan bekalan elektrik yang berlarutan hampir dua minggu, susulan kebakaran pada sistem pendawaian utama.


Ringkasan AI
  • Penduduk Perumahan Seri Perantau di Pelabuhan Klang merayu campur tangan segera Kerajaan Negeri Selangor bagi menyelesaikan gangguan bekalan elektrik hampir dua minggu akibat kebakaran sistem pendawaian utama.
  • Lebih 1,000 penghuni terjejas tanpa prosedur kecemasan yang dilaksanakan, menyebabkan kesukaran kepada pesakit, peniaga, warga emas, dan pesakit dialisis.
  • Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali, menyeru Kerajaan Selangor bertindak segera kerana kesan kerosakan bekalan elektrik ini mengancam kesihatan penduduk, merugikan pendapatan, dan menjejaskan keselesaan harian.


Menurut Pengerusi Blok C, Azizul Anuar Abdul Karim, lebih 1,000 penghuni terjejas sejak hari pertama kejadian, namun sehingga kini tiada sebarang prosedur kecemasan dilaksanakan.

“Hari ini masuk hari ke-13. Kami dimaklumkan pihak yang terbabit mungkin mengambil masa satu hingga dua bulan untuk kerja baik pulih. Takkan penduduk perlu hidup tanpa elektrik selama dua atau tiga bulan?” katanya kepada Astro AWANI, Jumaat.

Azizul turut memaklumkan bahawa dia terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama lima hari demi menjaga kebajikan penduduk, termasuk menguruskan bekalan makanan.

Katanya, ketiadaan lif menyukarkan pesakit dan keluarga yang mempunyai anak kecil.

Seorang peniaga bunga segar, Chandramah Ap Nathan, mendakwa dia tidak dapat menjalankan perniagaan sejak dua minggu lalu.

“Saya hilang pendapatan. Dah tua, nak turun naik tangga pun sakit kaki,” katanya.

Warga emas Sulaiman Manan, 76, yang menghidap asma kronik, kini bergantung kepada sambungan elektrik sementara yang diusahakan oleh pihak blok.

“Tolong saya, kesihatan saya tak baik,” katanya ringkas.

Bagi Thaikumaran Al Salammutu, pesakit dialisis yang perlu ke pusat rawatan tiga kali seminggu, ketiadaan lif menyukarkan pergerakan harian.

“Saya harap kerajaan negeri beri perhatian serius terhadap masalah ini,” katanya.

Penduduk menegaskan bahawa isu ini bukan sahaja menjejaskan keselesaan, malah mengancam kesihatan dan menyebabkan kehilangan pendapatan.

Mereka turut menggesa kerajaan negeri menyediakan bantuan sementara yang menyeluruh sementara menunggu kerja baik pulih.

Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali, yang turun padang semalam, turut menggesa Kerajaan Selangor bertindak segera.

“Perumahan Seri Perantau adalah projek di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), anak syarikat kerajaan negeri.

"Penduduk terpaksa berdepan pelbagai kesukaran, termasuk kehilangan pendapatan. Bayangkan lif tidak berfungsi selama 13 hari, bagaimana pesakit di tingkat lapan mahu turun naik?” katanya.

Beliau menambah, kerosakan lif dan bekalan elektrik memberi kesan besar kepada pesakit strok dan individu yang memerlukan rawatan berkala.

Sementara itu, wakil Island Property Consultants Sdn Bhd, Khairul Anuar Mokhtar, yang dilantik oleh PKNS, memaklumkan bahawa pihaknya masih menunggu peruntukan mencukupi daripada kerajaan negeri untuk memulakan kerja baik pulih.

Menurutnya, anggaran kos pembaikan akibat kebakaran sistem pendawaian mencecah RM1.5 juta.








#Klang #PKNS #Seri Perantau #warga emas #bekalan elektrik