GUA MUSANG: Komuniti Orang Asli menemukan kesan baharu beberapa tapak kaki harimau belang di sekitar Kampung Pos Bihai dan Pos Balar di Gua Musang, Kelantan sejak tiga hari lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihak terlibat dalam operasi menangkap harimau bagaimanapun belum berjaya mengesan kelibat haiwan tersebut setakat ini.

Mereka yang terlibat dalam operasi menangkap harimau di Gua Musang termasuk Pasukan Senoi Praaq atau Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak dan petugas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurut Foo, masyarakat Orang Asli masih lagi hidup dalam kebimbangan kerana percaya haiwan tersebut masih berkeliaran di kawasan sekitar.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang turut membantu memberi bekalan makanan kepada 300 Orang Asli di Pos Balar yang terjejas dengan ancaman harimau itu.

Bantuan itu diserahkan kepada Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Balar bagi tujuan pengagihan.

"Bantuan makanan ini daripada Food Bank IPD Gua Musang yang mana bekalan makanan ini kita peroleh daripada pihak NGO yang bermurah hati memberi sumbangan dan kita simpan di 'food bank' kita dan apabila ada pihak tertentu yang memohon bantuan, kita akan bagi berdasarkan keperluan semasa.

"Untuk makluman berdasarkan maklumat yang kita perolehi di dalam dua tiga hari lepas, masih terdapat kesan-kesan terdapatnya harimau di Pos Bihai, Kampung Tendrik, Kampung Remau dan sekitarnya juga," katanya.

Sementara itu, seramai 305 murid Orang Asli di SK Balar masih menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sejak 10 Januari lalu.

Sebelum ini, pada 7 Januari lalu, seorang lelaki Orang Asli, Anek Along, 59, ditemui maut selepas dipercayai dibaham seekor harimau belang di Kampung Sau, Pos Bihai.

BACA: Lelaki maut dibaham harimau di Gua Musang

Kejadian itu berlaku ketika sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di kawasan itu.