MALAYSIA

Pendulang berlesen dibenar mendulang emas di Kelantan mulai 21 Januari

Bernama 14/01/2026 | 13:00 MYT
Mohamed Fadzli berkata setakat ini, dua syarikat pembeli emas yang sah telah dilantik, manakala beberapa syarikat lagi yang memohon akan dipertimbangkan. - Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Pendulang emas di Kelantan yang telah memiliki lesen boleh mula melakukan aktiviti mendulang bermula pada 21 Jan ini, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.


Ringkasan AI
  • Pendulang emas di Kelantan boleh mula menjalankan aktiviti mendulang mulai 21 Januari berdasarkan lesen yang dimiliki, dengan kerajaan negeri menandakan kawasan mendulang sepanjang dua kilometer bagi fasa pertama.
  • Pejabat Tanah dan Galian menerima 332 permohonan lesen, di mana 179 telah diberikan lesen, sementara proses tapisan masih berlangsung; syarikat pembeli emas sah telah dilantik dan sumber mineral akan dijual kepada anak syarikat negeri.
  • Kelantan membuka peluang kepada pelabur asing dalam penerokaan Unsur Nadir Bumi-Bukan Radioaktif (NR-REE) dengan Lynas Rare Earths Ltd menandatangani memorandum persefahaman untuk membangunkan sumber REE, manakala pelabur luar lain turut menunjukkan minat.


Beliau berkata setakat ini, Pejabat Tanah dan Galian menerima sejumlah 332 permohonan lesen dengan 179 daripadanya telah membuat bayaran dan memperoleh lesen, manakala baki permohonan masih dalam proses tapisan.

"Untuk tujuan itu, kerajaan negeri akan mula melakukan proses penandaan tanah bagi mewartakan kawasan atau lokasi mulai hari ini dengan keluasan yang dicadangkan untuk fasa pertama ialah sepanjang dua kilometer.

"Pada masa yang sama, kajian susulan akan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada proses mendulang emas ini berjalan lancar atau sebaliknya. Jika semuanya berjalan lancar, kita akan luaskan kawasan mendulang," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Beliau berkata lokasi atau sungai yang akan diwartakan pada fasa pertama ini termasuklah Sungai Taduh dan Sungai Pergau di Jeli, Sungai Gentian di Kuala Krai, Sungai Galas di Gua Musang, dan Sungai Bertam di Tanah Merah.

Mohamed Fadzli berkata cadangan fasa permulaan sepanjang dua kilometer ini bagi memudahkan pendulang berlesen mengenal pasti kawasan yang dibenarkan mendulang, selain memudahkan proses pengawasan oleh pihak kerajaan.

"Kita ingatkan agar semua pendulang berlesen dapat mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan sepertimana ketika permohonan dibuat. Berikutan ketetapan ini, aktiviti mendulang emas tanpa lesen akan dikategorikan sebagai satu kesalahan," katanya.

Beliau berkata setakat ini, dua syarikat pembeli emas yang sah telah dilantik, manakala beberapa syarikat lagi yang memohon akan dipertimbangkan dan sumber mineral berkenaan akan dijual kepada anak syarikat negeri.

Dalam pada itu, katanya Kelantan masih membuka ruang kepada pelabur asing yang berminat dalam proses penerokaan Unsur Nadir Bumi-Bukan Radioaktif (NR-REE) bagi membolehkan bahan mentah itu diproses di negeri ini sekali gus menjana pendapatan daripadanya.

"Setakat ini, Lynas Rare Earths Ltd telah menandatangani memorandum persefahaman dengan kerajaan Kelantan melalui MB Inc pada Mei 2025 untuk membangunkan sumber REE," katanya.

Mohamed Fadzli berkata banyak syarikat atau pelabur luar lain juga menunjukkan minat dan memohon, namun kerajaan negeri sedang meneliti syarikat yang dapat memberikan tawaran terbaik untuk dipilih.

-- BERNAMA



#REE #tawaran terbaik #sumber mineral #pelabur asing