Penempatan semula: 'Sebelum ini sejumlah besar doktor pakar ditempatkan di ibu pejabat KKM' - KSN

Shamsul Azri semasa sesi panel di Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 yang diadakan sempena program Rancakkan MADANI di sini hari ini. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Kerajaan terus memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam melalui penempatan semula pegawai perubatan dan anggota polis di lokasi lebih memerlukan, sebagai sebahagian daripada agenda merakyatkan perkhidmatan.
Ringkasan AI
- Kerajaan mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan penempatan semula doktor pakar dan pegawai polis ke lokasi yang memerlukan, bagi merakyatkan perkhidmatan.
- Penempatan semula 380 doktor ke klinik dan hospital, serta 611 pegawai polis dari Bukit Aman ke balai-balai polis daerah dan negeri dilakukan untuk memastikan tenaga profesional digunakan secara optimum demi manfaat rakyat.
- Ketua Setiausaha Negara menekankan pentingnya kakitangan kerajaan memahami dokumen rasmi, prosedur kerja yang ditetapkan, dan tidak mengikut amalan biasa yang mungkin tidak selari dengan proses sebenar.
"Dan untuk 2024 hingga 2025, sebanyak 380 doktor telah kita tempatkan semula di klinik dan di hospital. Sama juga dengan polis kita berjaya menempatkan semula 611 pegawai polis yang berada di Bukit Aman (Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia) untuk berkhidmat di balai-balai polis daerah dan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi panel di Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 yang diadakan sempena program Rancakkan MADANI di sini hari ini.
Beliau berkata inisiatif itu antara lain bertujuan memastikan tenaga profesional digunakan secara optimum demi manfaat rakyat.
Berkongsi pengalaman di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini, Shamsul Azri berkata pelaksanaan tugas dalam sesuatu organisasi perlu sentiasa berpandukan kepada dokumen rasmi dan prosedur ditetapkan, bukan semata-mata mengikut amalan biasa yang sering dipraktikkan oleh ramai pihak.
Beliau berkata masih terdapat kecenderungan dalam kalangan kakitangan untuk mengikuti cara kerja yang telah menjadi kebiasaan, walaupun ia tidak selari dengan proses sebenar dalam peraturan kerja.
"Sebenarnya, perkara penting dalam melaksanakan tugas ialah memahami dengan jelas apa yang terkandung dalam dokumen rujukan, apa yang perlu kita lakukan, peraturan yang perlu dipatuhi dan proses kerja yang telah ditetapkan.
"Kadang kala kita bekerja mengikut amalan biasa yang sering dilakukan ramai orang namun amalan tersebut tidak semestinya selaras dengan prosedur sebenar. Praktis menjadi kebiasaan itu belum tentu betul dan sering kali tidak menepati proses kerja yang seharusnya diikuti," katanya.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia Datuk Seri Mustafar Ali yang turut menjadi ahli panel berkata setiap warga kerja perlu digerakkan oleh tiga elemen utama iaitu duty, joy and passion (tanggungjawab, keseronokan dan semangat) dalam memastikan tugas dan amanah dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau berkata duty merangkumi usaha menggunakan kemampuan dan sumber diri untuk menyumbang kepada kebaikan organisasi dan elemen joy merujuk kepada rasa seronok bekerja secara ikhlas tanpa paksaan, manakala passion pula adalah kecintaan terhadap kerja yang mendorong seseorang memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan baik.
Program Rancakkan MADANI selama tiga hari yang bermula Jumaat menawarkan lebih 300 titik sentuhan perkhidmatan awam, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga dan promosi khas untuk pengunjung.
Program Rancakkan MADANI merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI (PSBKM) dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) yang telah menjadi tradisi pelaporan tahunan Kerajaan MADANI secara terus kepada rakyat.
Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 itu menghimpunkan pakar dasar dari sektor awam dan penggiat industri.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


