Selepas penemuan satu daripada 28 penempatan sementara di Bukit Wang Burma dekat Wang Kelian, Perlis, perhatian kini tertumpu pula kepada persoalan ‘sejak bila kem itu wujud’.

Terdapat sesetengah pihak yang mendakwa ia wujud lebih daripada lima tahun lalu, namun dakwaan dinafikan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Penafian itu adalah berdasarkan bukti-bukti di penempatan sementara berkenaan yang menunjukkan bahawa bahan yang digunakan untuk membina struktur tersebut masih dalam keadaan baik.

Antaranya adalah keadaan kain kapan yang digunakan untuk membaluti mayat didapati masih baharu dan tidak reput.

Selain itu, kayu yang digunakan untuk membuat lantai khemah masih baik sementara kain kanvas yang dijadikan bumbung juga tidak belum menunjukkan tanda reput.

“Kalau melihat struktur fizikal kayu (yang digunakan untuk membina pondok) masih ada kulitnya dan kayu itu juga masih baru daripada pokok yang ditebang.

“Kami juga mendapati ada daun kering yang masih belum luruh daripada rantingnya, sementara di kubur pula, kain yang digunakan (untuk membalut mayat) masih elok.

"Berdasarkan semua ini, kita percaya kem ini wujud tidak terlalu lama,” kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut sependapat mengenai tempoh kewujudan kem tersebut.

“Ini suatu tempat yang berubah-ubah untuk mereka gunakan. Namun, oleh kerana tempat ini dianggap sesuai, mereka buat lebih banyak ciri atau komponen ke atasnya,” ujar beliau.

Dalam pada itu Wan Junaidi juga percaya, berdasarkan bukti-bukti berkenaan, kem tersebut dipercayai dibina sejak tahun 2013.

Penghalang fizikal

Berhubung usaha mengekang pencerobohan sedemikian berlaku lagi pada masa akan datang, beliau berkata bahawa terdapat cadangan untuk membina penghalang fizikal di kawasan sempadan. Isu pembinaan struktur tersebut akan dibawa ke Parlimen dalam masa terdekat.

“Penghalang fizikal itu tidak semestinya pagar atau pos kawalan. Apa yang penting ia mampu menghalang aktiviti pencerobohan atau penyeludupan daripada berlaku. Perkara ini masih dibincangkan kerana ia melibatkan soal implikasi kos,” ujar Wan Junaidi.

Panjang sempadan Malaysia-Thailand dianggarkan lebih daripada 600 kilometer yang meliputi landskap tanah rata dan berbukit.