MALAYSIA

Penemuan mayat lelaki di dalam gaung, polis klasifikasi kes bunuh

Bernama 13/07/2025 | 15:18 MYT
Polis mengklasifikasikan kes penemuan mayat lelaki di dalam gaung di Kampung Batu 23, Jalan Pahang dekat Tapah semalam sebagai kes bunuh. - Gambar fail/hiasan
IPOH: Polis mengklasifikasikan kes penemuan mayat lelaki di dalam gaung di Kampung Batu 23, Jalan Pahang dekat Tapah semalam sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Johari Yahya berkata ia susulan hasil bedah siasat yang dijalankan Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pagi tadi yang mendapati punca kematian mangsa akibat dipukul dengan objek tumpul.

"Terdapat kesan lebam dan luka lecet pada kepala, muka, dada, belakang badan serta kedua-dua tangan mangsa dan punca kematian adalah disebabkan multiple blunt trauma akibat dipukul dengan senjata tumpul," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Johari berkata sehubungan itu, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Beliau berkata polis telah mengambil cap jari mangsa untuk mendapatkan identiti lelaki itu yang ditemukan berkemeja-T dan berseluar pendek hitam dalam keadaan terbaring di bawah tebing setinggi 15 meter di tepi jalan berkenaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil di balai polis berdekatan atau terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-4011222," katanya.

-- BERNAMA


#penemuan mayat #dalam gaung #kes bunuh #Kampung Batu 23 #Polis Daerah Tapah