23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
MALAYSIA

Penemuan mayat: Polis Kapit minta orang ramai tampil ke balai

Bernama 05/10/2025 | 10:16 MYT
Polis menemui mayat lelaki terapung di Batang Rajang, Kapit dan meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan tampil ke balai polis. -Gambar hiasan/Bernama
SIBU: Polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan rapat tampil ke balai polis susulan penemuan mayat lelaki di Batang Rajang, Kapit hari ini.


Ringkasan AI
  • Polis menemui mayat lelaki terapung di Batang Rajang, Kapit dan meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan tampil ke balai polis.
  • Mayat yang mempunyai tatu di paha kanan serta bahu kiri dan kanan itu dipercayai lelaki tempatan berusia 40-an, namun tiada laporan orang hilang yang sepadan ditemui setakat ini.
  • Mayat dihanyutkan arus deras sejauh lima kilometer sebelum ditemukan semula dan dihantar ke Hospital Kapit untuk tindakan lanjut.


Ketua Polis Daerah Kapit DSP Rohana Nanu berkata polis menerima maklumat kira-kira 11.25 pagi tadi berhubung mayat itu yang ditemukan orang awam terapung di Wharf Kapit.

Beliau berkata bagaimanapun sebaik anggota polis tiba, mayat berkenaan dipercayai telah dihanyutkan arus deras sebelum ditemukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Teluk Selindung pada 12.10 tengah hari, kira-kira lima kilometer dari Wharf Kapit.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kapit untuk tindakan lanjut," katanya kepada Bernama hari ini.

Rohana berkata mangsa berketinggian kira-kira 170 sentimeter dan berkulit cerah selain terdapat tatu perhiasan di paha kanan serta di bahu kiri dan kanan.

Beliau berkata lelaki itu dipercayai rakyat tempatan berusia 40-an dan semakan laporan polis mengenai orang hilang bermula 2 Oktober hingga kini juga tidak mempunyai kaitan dengan mayat berkenaan.

-- BERNAMA


#mayat lelaki terapung #Batang Rajang Kapit #tatu di paha kanan #balai polis #Wharf Kapit