Penemuan senjata api dan senjata berbahaya lain dalam Ops Cantas Khas yang dilaksanakan bagi membanteras kegiatan kongsi gelap tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti pengganas.

Pengarah Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi dan Anti Pengganas) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata setakat ini hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati penemuan senjata itu hanya mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah.

"Tiada ke arah itu (aktiviti pengganas). Bagaimanapun kita sentiasa bergerak proaktif dan mengikuti perkembangan semasa untuk membanteras jenayah berat yang menggunakan senjata api," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menutup forum pengguna 'Masalah Pengguna, Masalah Kami, Masalah Negara' di sini hari Ahad.

Forum selama dua hari ini merupakan anjuran bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sempena Pameran Halal Fiesta 2013 (HALFEST 2013).

Di majlis itu, PPIM menyerahkan resolusi pengguna kepada Mohamad Fuzi berkaitan lapan kes utama yang membebani kehidupan seharian masyarakat untuk perhatian dan tindakan PDRM.

Antara kes itu ialah berkaitan aktiviti Ah Long dan skim cepat kaya atau piramid yang mempunyai unsur penipuan terancang.

Mohamad Fuzi berkata pihaknya memandang serius kes sedemikian dan ia akan dibawa ke perhatian kepimpinan tertinggi PDRM untuk tindakan lanjut.